GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


Arau: Umat Islam di Perlis diseru menunaikan solat secara berjemaah di rumah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Jumaat ini.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, langkah berkenaan juga akan terus dilaksanakan sehingga akhir tempoh PKP sekiranya berlaku perlanjutan dalam tempoh berkenaan itu nanti.

"Langkah berkenaan diambil setelah menerima pandangan dan nasihat daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai perkembangan semasa peningkatan penularan pandemik Covid-19 di negeri itu serta mendapat panduan dan irshad daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

"Selain itu, segala aktiviti berkumpulan di masjid dan surau sama ada kelas, kuliah dan pengajian termasuk solat berjemaah di seluruh Perlis akan dihentikan untuk sementara waktu dan kita bersetuju supaya segala aktiviti terbuka secara berkumpulan di masjid dan surau seluruh negeri Perlis termasuk solat berjemaah dihentikan seketika.

"Pengajaran secara dalam talian tanpa perhimpunan fizikal boleh dilaksanakan sebagai alternatif, " titahnya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Baginda yang juga Yang DiPertua MAIPs bertitah, walaupun solat secara berjemaah dinasihatkan dijalankan di rumah, pengimarahan masjid secara berjemaah masih boleh dilakukan dengan syarat hanya pegawai dan jawatankuasa masjid yang bertugas sahaja dibenarkan hadir dengan kapasiti tidak melebihi lima orang.

"Bagi solat Jumaat pula, ia hendaklah didirikan dengan jemaah yang terdiri daripada anak kariah masjid termasuk imam dan khatib dengan tidak melebihi kapasiti maksimum mengikut saiz masjid dan tidak kurang daripada tiga orang seperti yang dipraktikkan sebelum ini.

"Sebagai langkah pencegahan dan mengurangkan risiko penularan wabak, kehadiran menunaikan solat Jumaat hendaklah terdiri daripada hanya ahli kariah sahaja dan tidak dibenarkan hadir sama sekali kepada mereka mereka yang baru pulang dari kawasan luar atau melakukan aktiviti rentas sempadan dalam tempoh aktif penularan termasuk bukan warga tempatan," titahnya.

Baginda turut menyatakan bahawa laungan azan akan dilaksanakan di masjid dengan gantian seruan ungkapan 'Solatlah di rumah kamu'.

"Terdapat beberapa ketetapan dalam mendirikan solat berjemaah dan solat Jumaat di masjid yang waib dipatuhi oleh mereka yang dibenarkan berbuat demikian di masjid seperti membuat pemeriksaan suhu badan, sanitasi tangan dan merekodkan kehadiran dalam daftar hadir atau mengimbas kod QR Aplikasi MySejahtera.

"Selain itu, individu yang berusia 60 tahun keatas tidak dibenarkan hadir dan begitu juga kanak-kanak di bawah usia 15 tahun.

"Malah, mereka yang mempunyai gejala seperti demam, sesak nafas, sakit tekak dan selesema juga tidak dibenarkan hadir dan ini termasuk juga mereka mereka yang berisiko dan mempunyai sejarah kesihatan lain seperti kencing manis, darah tinggi, lelah, penyakit barah, dan sebagainya juga tidak dibenarkan hadir," titahnya lagi.

Sehingga semalam, Perlis mencatatkan sebanyak 117 kes jangkitan baru Covid-19 menyebabkan kerajaan mengisytiharkan PKP di negeri itu bermula Jumaat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2021 @ 1:58 PM