GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Walaupun kerajaan melantik Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) sebagai pemborong tunggal dalam pengedaran benih padi, ada pihak dikesan mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan.

Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mengesan wujud kelompok tertentu menjual benih padi secara tidak sah di utara tanah air.

Ketua Pengarahnya, Azman Mahmood berkata, ia berdasarkan aduan diterima daripada petani mengenai aktiviti yang didalangi orang dalam industri itu.

"Apabila kerajaan mengumumkan langkah penyelesaian untuk isu kawalan harga serta kualiti benih padi, pihak berkenaan tidak lagi terbabit.

"Apa yang dilalukan, mereka menghabiskan stok benih padi yang ada untuk dijual kepada kepada petani dan ia di luar skim yang diperkenalkan kerajaan," katanya kepada Harian Metro.

Azman berkata, pihaknya khuatir benih yang dijual itu tidak menepati kualiti yang sepatutnya dan ia boleh menjejaskan pengeluaran padi di dalam negara.

Menurutnya, pihaknya tidak akan berkompromi dengan isu itu kerana ia sudah berlanjutan untuk tempoh masa lama dan menjejaskan penanaman padi di negara ini.

Justeru katanya, tindakan tegas akan diambil kepada petani dan pembekal yang terbabit dalam isu itu.

Katanya, November tahun lalu, pihaknya sudah mengeluarkan Perintah Tetap kepada pengeluar, pemborong, peruncit, ejen pengedar bagi program Insentif Benih Padi Sah (IBPS).

"Kita akan siasat perkara ini mengikut Akta Kawalan Padi dan Beras (Akta 522) iaitu pengedaran dan penjualan benih.

"Saya beri amaran agar mereka ini menghentikan segera kegiatan ini atau berdepan tindakan undang-undang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2021 @ 2:53 PM