GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Norzamira Che Noh

Shah Alam: Kerajaan Persekutuan serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyambut baik hasrat Selangor yang mahu membeli lima juta vaksin Covid-19 bagi kegunaan rakyat negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, tindakan kerajaan negeri itu dilihat berupaya mengurangkan beban kerajaan Persekutuan dalam pembelian vaksin.

"Perdana Menteri sudah dimaklumkan perkara ini dalam mesyuarat MKN (Majlis Keselamatan Negara) darurat yang lalu.

"Sudah pasti kita akan bersama-sama melalui pelan imunisasi negara yang ada dalam peringkat nasional supaya tidak bertindih dan vaksin yang dibeli sampai kepada sasaran," katanya pada sidang media dalam talian selepas mengumumkan kejayaan kempen e-Bazar Selangor 11.11 Jualan Mega tadi.

Amirudin berkata sedemikian ketika diminta mengulas perkembangan terbaharu berhubung hasrat kerajaan Selangor untuk membeli vaksin bagi kegunaan rakyat negeri ini.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, perancangan (pembelian vaksin) perlu melalui beberapa proses dan kerajaan negeri akan terus memastikan rakyat negeri ini terutama golongan sasar serta pekerja industri yang membantu meningkatkan ekonomi menerima vaksin terbabit.

"Rabu ini dalam pengumuman (pengumuman khas sempena Perintah Kawalan Pergerakan) saya akan nyatakan beberapa perkembangan terbaharu mengenai perkara ini," katanya.

Terdahulu, pada minggu lalu, Amirudin memakumkan kerajaan negeri bercadang membeli sebanyak tiga hingga lima juta dos vaksin Covid-19 bagi mengawal penularan sekali gus memutuskan rangkaian jangkitan wabak terbabit di negeri ini.

Beliau berkata, langkah itu bertujuan memastikan kesihatan rakyat di negeri ini terus terjamin selain memastikan bekalan vaksin Covid-19 mencukupi.

Katanya, Selangor perlu membeli (vaksin Covid-19) berikutan keperluannya lebih kerana industri di negeri ini memerlukan pekerja termasuk pekerja asing.

"Setakat ini, vaksin Covid-19 disediakan kepada warganegara, namun mereka (pekerja asing) juga perlu membeli vaksin terbabit," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2021 @ 4:47 PM