GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mohd Roji Kawi


Kuching: Keadaan banjir di Sarawak semakin pulih dengan jumlah mangsa menurun kepada 679 orang daripada 189 keluarga, petang ini.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Mejar (PA) Ismail Mahedin berkata, sehingga jam 4 petang, hanya enam pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi di dua daerah.

Beliau berkata, di Kuching kekal dengan hanya satu PPS yang masih dibuka yang menempatkan 113 mangsa daripada 24 keluarga.

"Di Serian, jumlah PPS berkurangan kepada hanya lima yang menempatkan 566 mangsa daripada 165 keluarga," katanya dalam kenyataan, petang ini.

Satu-satunya PPS yang masih beroperasi di Kuching ialah Dewan Masyarakat Haji Kamarrudin Segedup, di Batu Kawa.

Manakala PPS yang masih dibuka di Serian ialah PPS Dewan Kpg Rimba Padi, PPS SK Tanah Puteh,PPS Dewan Kampung Slabi Entukuh, PPS Dewan Balek Buk Janjun dan PPS Dewan Masyarakat Serian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 January 2021 @ 8:59 PM