HAZANI GHAZALI
HAZANI GHAZALI
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Polis jalankan siasatan berhubung perbuatan individu meminum bir ketika ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di negeri ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah menerima laporan dibuat oleh kakitangan di pusat kuarantin berkenaan susulan video yang tular di media sosial semalam.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengambil keterangan daripada kakitangan di PKRC berkenaan.

"Hasil siasatan awal, polis percaya minuman keras berkenaan dibawa oleh pesakit sendiri berikutan tiada tindakan pemeriksaan isi kandungan beg yang dibawa oleh pesakit.

"Namun, kita juga tidak menolak kemungkinan terdapat kakitangan bertugas yang membantu membawa masuk minuman itu," katanya.

Sementara itu, tular rakaman video berdurasi 12 saat memaparkan enam lelaki dan dua wanita minum bir di pusat berkenaan.

Ia menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan warganet yang mempersoalkan bagaimana minuman itu boleh dibawa masuk selain menyifatkan kejadian itu tidak wajar dilakukan di PKRC.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 January 2021 @ 8:41 PM