GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu menyiasat makmal persendirian yang menawarkan perkhidmatan ujian saringan Covid-19 secara pandu lalu.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Prof Datuk Dr M Subramaniam berkata, berbeza dengan hospital kerajaan dan swasta, makmal bukanlah kemudahan kesihatan.

Beliau berkata, menurut KKM, ujian Covid-19 oleh pihak swasta hanya boleh dilakukan oleh klinik swasta, pusat penjagaan yang mempunyai kemudahan ambulans serta hospital swasta.

"Namun, apa yang lebih membimbangkan, bagaimana sebuah makmal dibenarkan menjalankan ujian calitan?

"Makmal bukanlah kemudahan kesihatan," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dr Subramaniam merujuk kepada laporan media mengenai seorang pesakit Covid-19 berusia 49 tahun yang disahkan positif pada 5 Januari lalu selepas menjalani ujian saringan secara pandu lalu kendalian pihak swasta.

Laporan itu menyebut, selain wanita berkenaan, lima lagi ahli keluarganya termasuk ibu dan bapa mentuanya yang berusia 78 tahun turut disahkan positif.

Bagaimanapun, selama tiga hari selepas disahkan positif, tiada petugas kesihatan menghubungi keluarga itu selain mereka tidak menerima sebarang panduan atau dihubungi semula oleh pihak swasta yang menjalankan ujian pandu lalu itu mahupun ambulans dihantar mengambil mereka yang bergejala ke hospital.

Dr Subramaniam berkata, berdasarkan kepada laporan media membabitkan pesakit berkenaan, jelas protokol sewajarnya dalam pengendalian kes disahkan positif Covid-19 tidak dipatuhi.

Beliau berkata, ia juga berkemungkinan punca Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) tidak dimaklumkan mengenai kes terbabit, seterusnya menyumbang kepada kesukaran mendapatkan ambulans serta bantuan perubatan selanjutnya.

Katanya, garis panduan KKM menetapkan tanggungjawab pusat perubatan swasta ialah untuk terus melapor sebarang kes positif yang disahkan kepada PKD selain ia juga perlu memastikan urusan selanjutnya dibuat, membabitkan arahan seterusnya daripada KKM serta ambulans dihantar untuk mengambil pesakit.

"Tanggungjawab mereka tidak selesai sehingga pesakit dihantar ke hospital untuk rawatan. Namun, dalam kes ini, makmal itu bukanlah sebuah pusat kesihatan swasta, justeru ia tidak sepatutnya dibenarkan menyediakan perkhidmatan ujian saringan Covid-19.

"KKM perlu memberikan penjelasan mengenai perkara ini. Garis panduan itu penting dalam memastikan pengawalan dan pencegahan jangkitan berterusan dalam menguruskan kes positif baharu.

"Langkah-langkah ini turut disertakan dalam latihan yang diwajibkan terhadap semua kemudahan perubatan swasta sebelum mereka dibenarkan oleh KKM mengadakan ujian saringan untuk Covid-19," katanya.

Dr Subramaniam berkata, tahun lalu, ada beberapa doktor perubatan yang terpaksa menunggu berjam-jam sehingga perkhidmatan ambulans datang mengambil pesakit yang didapati positif Covid-19.

Beliau berkata, pihak terbabit terpaksa mengasingkan pesakit terbabit, menutup klinik dan menunggu antara dua hingga tiga jam sehingga ambulans sampai.

Katanya, biarpun ia agak menghampakan, namun doktor terbabit tetap melaksanakan tanggungjawab itu selaras dengan garis panduan ditetapkan KKM.

Oleh itu, Dr Subramanian berkata, KKM perlu menyiasat makmal swasta yang menjalankan ujian pandu lalu itu atau akan ada orang lain yang turut berdepan situasi sama dengan pesakit berkenaan.

Pada masa sama, beliau berkata, koordinasi yang lebih baik juga perlu antara hospital swasta dan PKD justeru perhatian segera diperlukan berikutan kes Covid-19 yang tinggi dan mungkin semakin meningkat.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 January 2021 @ 2:47 PM