Noorzainy (kanan) menyoal individu yang ditahan kerana gagal mematuhi SOP pelaksanaan semula PKP di sekitar R&R Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) Bagan Ajam. FOTO DANIAL SAAD
Noorzainy (kanan) menyoal individu yang ditahan kerana gagal mematuhi SOP pelaksanaan semula PKP di sekitar R&R Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) Bagan Ajam. FOTO DANIAL SAAD
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Cubaan untuk berkelah dan berhenti rehat selepas merentas daerah antara alasan diberikan 14 individu yang dikompaun RM1,000 kerana mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan melepak sekitar Pantai Bersih, di sini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Noorzainy Mohd Noor, berkata semua individu berusia 20 hingga 40 tahun itu dikompaun kerana bukan sahaja melanggar PKP, malah tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan tidak memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal.

"Daripada 14 individu yang dikompaun, tiga daripada mereka didapati melakukan kesalahan merentas daerah tanpa kebenaran, manakala bakinya cuba untuk berkelah di sekitar kawasan pantai ini.

"Tempoh PKP sepatutnya semua kena duduk di rumah, melainkan jika ada urusan penting, namun masih ada lagi yang tidak mematuhinya," katanya ketika ditemui selepas mengadakan operasi pematuhan di sekitar Pantai Bersih, di sini, hari ini.

Operasi yang bermula 4 petang tadi turut disertai Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dengan keanggotaan keseluruhan 62 orang.

MBSP turut mengeluarkan 14 kompaun dan satu notis terhadap peniaga atas beberapa kesalahan antaranya berniaga tanpa lesen, tiada suntikan tifoid dan tidak memasang penapis minyak.

Noorzainy berkata, pihaknya menumpukan pemantauan di kawasan pantai memandangkan ia menjadi tempat tumpuan khususnya pada hujung minggu.

"Bagaimanapun, kita mendapati tahap pematuhan orang ramai di daerah ini begitu tinggi dan kita berharap ia berkekalan sehingga PKP tamat," katanya.

Sementara itu, Noorzainy berkata, sehingga kini tiada individu yang ditahan atas kesalahan rentas negeri.

"Dalam sekatan jalan raya (SJR) termasuk pemeriksaan di tiga laluan tikus yang dikenal pasti di kawasan Tasek Gelugor didapati tiada yang cuba merentas negeri tanpa kebenaran," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2021 @ 7:37 PM