BAWANG putih yang dijual di pasaraya di Jelutong di sini, pada harga RM6.99 bagi setiap 500 gram. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
BAWANG putih yang dijual di pasaraya di Jelutong di sini, pada harga RM6.99 bagi setiap 500 gram. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang tidak menerima sebarang aduan berhubung kenaikan harga barangan.

Pengarahnya Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, tindakan tegas akan diambil sekiranya peniaga cuba mengambil kesempatan mengaut keuntungan pada harga tidak munasabah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Katanya, orang ramai diminta membuat aduan menerusi talian yang ditetapkan.

"Sehingga kini kita belum menerima aduan daripada pengguna di negeri ini berhubung kenaikan harga.

"Namun, sekiranya terdapat aduan, kita akan mengambil tindakan, " katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Sementara itu, tinjauan di sebuah pasar mini di Jalan Dato Kramat, di sini, mendapati harga bawang besar mencecah RM8 sekilogram.

"Pembekal tempatan susah hendak hantar bawang ke sini sejak beberapa hari lalu kerana jalan ditutup akibat banjir di beberapa negeri di pantai Timur," kata peniaga yang mahu dikenali sebagai Kim, 50.

Manakala, tinjauan di sebuah pasar raya di Jelutong mendapati bawang besar dijual pada harga RM6.99 bagi setiap 800 gram dan RM4.99 harga bawang kecil bagi setiap 500 gram.

Lada merah pula dijual pada harga RM2.99 (200 gram) manakala cili api berharga RM1.99 bagi kuantiti yang sama.

Telur gred C pula dijual pada harga RM7.99 manakala bawang putih RM6.99 bagi setiap 500 gram.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2021 @ 5:16 PM