Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Penuntut institut pengajian tinggi (IPT) dan pelajar sekolah tidak diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19 untuk memasuki asrama atau menduduki peperiksaan kecuali jika bergejala sahaja.

Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya menerima berkenaan IPT dan sekolah di beberapa negeri yang mengenakan syarat kepada pelajar supaya membuat ujian saringan sebelum masuk ke kampus atau asrama bagi menduduki peperiksaan dengan kos ditanggung sendiri.

"Syarat dikenakan beberapa IPT dan sekolah ini tidak boleh digunakan.

"Pelajar yang ingin memasuki peperiksaan, balik ke asrama atau kampus tidak diwajibkan untuk menjalani 'swab test' kecuali bergejala sahaja," katanya ketika sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.


Selain itu, Ismail Sabri berkata, hasil perbincangan dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), pelajar yang berambut panjang dan perlu ke sekolah tidak akan dikenakan sebarang tindakan daripada guru.

"Kami menerima banyak pertanyaan mengenai kedai gunting rambut yang tidak dibenarkan beroperasi ketika PKP, lebih-lebih lagi pelajar nak ambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

"Hasil perbincangan dengan KPM, walaupun berambut panjang pelajar dibenarkan ke sekolah tanpa dikenakan sebarang tindakan oleh guru sebab kedai gunting rambut masih tidak dibenarkan beroperasi," katanya.

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, bermula 1 Disember lalu kerajaan mengarahkan semua pekerja warga asing khususnya di enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Sabah, Kuala Lumpur dan Labuan menjalani ujian saringan Covid-19 dan kos ujian ditanggung oleh majikan masing- masing.

"Sehingga 4 Januari lalu, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan seramai 153,585 pekerja warga asing menjalani ujian saringan Covid-19 membabitkan 5,697 majikan.

"Sehingga kini juga, sebanyak 816 klinik terbabit dengan program saringan ini.

"Kerajaan menguatkuasakan arahan ini bermula 1 Januari lalu mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342), di mana majikan yang gagal mematuhi arahan ini akan dikenakan tindakan undang- undang dan penalti," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 January 2021 @ 6:31 PM