Nor Amalina Alias


Pasir Puteh: Sebanyak 84 kenderaan diarah berpatah balik di Sekatan Jalan Raya (SJR) bagi tempoh dua hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini.

Daripada jumlah itu, 50 kenderaan diarah berpatah balik pada hari pertama manakala 34 lagi pada hari kedua di empat lokasi SJR iaitu di Balai Polis Bukit Yong, Pasir Puteh, Jeli dan dua di Gua Musang menghala ke Lojing dan Kuala Lipis.

Ketua Polis Kelantan,Datuk Shafien Mamat berkata, tindakan itu dibuat selepas pemilik kenderaan gagal mengemukakan surat rentas negeri dan memberi alasan tidak munasabah untuk keluar atau masuk ke negeri ini.

"Ada juga gagal memaklumkan lokasi sebenar destinasi mereka, jadi kita arahkan berpatah balik namun jika mereka memberikan alasan kukuh, kita boleh sediakan surat kebenaran serta-merta untuk tempoh hari ini sahaja.

"Kita menerima 1,552 jumlah kenderaan masuk ke negeri ini pada hari pertama PKP (Rabu) dan menunjukkan peningkatan kepada 3,315 kenderaan semalam yang masih diberi kelonggaran," katanya ketika ditemui ketika membuat lawatan ke SJR di depan Balai Polis Bukit Yong, di sini, hari ini.

ANGGOTA polis memeriksa kenderaan di SJR berhampiran Balai Polis, Bukit Yong. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ANGGOTA polis memeriksa kenderaan di SJR berhampiran Balai Polis, Bukit Yong. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Shafien berkata, bermula esok tindakan tegas akan diambil dan pihaknya akan memperketatkan keluar masuk kenderaan di empat SJR dan juga laluan-laluan tikus yang mungkin digunakan.

Katanya, setakat ini,pihaknya mengenal pasti dua laluan tikus di daerah Pasir Puteh dan menubuhkan pasukan pemantau khas bagi memantau pergerakan kenderaan keluar masuk di negeri ini.

"Saya nasihatkan masyarakat supaya mematuhi operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan guna laluan yang betul jika perlu lakukan pergerakan ke mana-mana kerana pegawai dan anggota kita juga mungkin berpakaian biasa dan tidak semestinya beruniform," katanya.

Beliau berkata, tahap pematuhan rakyat negeri masih rendah kerana berlakunya peningkatan mendadak Covid-19 di negeri ini sejak kebelakangan ini.

"Elakkan bersalaman, menghadiri majlis kenduri, keluar makan beramai-ramai, berada di tempat sesak dan pakai pelitup muka. Jangan simpan di poket baju atau seluar, bila nampak polis baru pakai. Jangan pakai sebab takut polis tetapi amalkan untuk cegah Covid-19," katanya.

Beliau berkata, sehingga hari ini, 74 kompaun dikeluarkan bagi kesalahan tidak memakai pelitup muka (43 kompaun) dan melanggar SOP sebanyak 31 kompaun.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 January 2021 @ 1:59 PM