AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Razali Idris. FOTO arkib NSTP
AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Razali Idris. FOTO arkib NSTP
Wartawan HM


Kuala Lumpur: Gelagat orang politik yang masih kecelaruan minda untuk berkuasa menyebabkan rakyat muak, marah dan tidak percaya kepada wakil rakyat sedia ada.

Sehubungan itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Razali Idris meminta ahli politik menghormati nasihat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang pernah menitahkan ahli politik tidak mengheret negara sekali lagi ke kancah politik yang tidak menentu.

"Terbaru, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah turut mengingatkan umat Islam supaya tidak menyerahkan amanah atau tanggungjawab kepada golongan yang bermoral rendah, terpalit rasuah, salah guna kuasa, tidak amanah dan tidak ikhlas.

"Dua pesanan Raja-Raja Melayu ini jelas membuktikan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin sedaya-upaya mempertahankan harapan pucuk tertinggi negara yang difikirkan terbaik kepada kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara secara menyeluruhnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Bersatu tidak menafikan akan keperluan Pilihan Raya Ke-15 (PRU15) diadakan kerana ia adalah mandat yang menentukan sebuah kerajaan stabil, kuat dan mampu memberikan kesejahteraan rakyat dan ekonomi.

"Namun secara rasionalnya dalam keadaan pandemik Covid-19 sehingga menjejaskan tahap kesihatan awam yang sangat teruk, adalah tidak masuk akal pihak tertentu terutama di bawah bumbung kerajaan PN serta Muafakat Nasional (MN) yang menampakkan kerakusan untuk berkuasa semula," katanya.

Menurutnya, kerajaan PN di bawah kepimpinan Muhyiddin boleh disifatkan sebagai sebuah kerajaan melangkaui ideologi politik ekstrem yang semata-mata memfokuskan kesejahteraan rakyat, kesihatan awam serta keselamatan politik dan negara terus terpelihara.

"Berperang hampir setahun melawan Covid-19 termasuk berperang dengan persaingan kuasa sewaktu peralihan kuasa menggantikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan diasak sepanjang masa oleh parti politik tertentu yang mendakwa kerajaan tidak stabil adalah sesuatu perkara yang menuntut daya kepimpinan sangat luar biasa.

"Perdana Menteri berdepan keadaan yang dimaksudkan itu, dan sehingga sekarang pelbagai dasar, polisi, perancangan strategik serta langkah Proklamasi Darurat yang diperkenan dan diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong untuk memerangi wabak Covid-19 menuntut satu daya kepimpinan yang merentasi daya pemikiran orang lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2021 @ 4:54 PM