Zuliaty Zulkiffli

Sungai Petani: Seorang mekanik ditahan polis kerana mengeluarkan perkataan jelik, menghina dan kurang sopan di Facebook (FB) terhadap anggota polis yang meninggal dunia dilanggar motosikal ketika mengejar penjenayah, Jumaat lalu.

Suspek berusia 41 tahun itu ditahan Selasa lalu jam 3 petang di tepi Jalan Sultan Badlishah, di sini, oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda diketuai Inspektor Muhamad Razis Hamzah.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, turut dirampas sebuah telefon bimbit milik lelaki berkenaan untuk membantu siasatan.

"Laporan polis dibuat oleh pengadu yang juga anggota polis selepas terbaca komen pada 11 Januari lalu dan menangkap layar komen berkenaan sebagai bukti.

"Hasil semakan rekod mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan hasil ujian saringan air kencing juga mendapati dia negatif mengambil dadah," katanya sidang media di IPD Kuala Muda, di sini hari ini.

Adzli berkata, lelaki itu mengaku dia tidak sengaja menulis komen sehingga menghiris hati dan perasaan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan keluarga mangsa.

ADZLI (kanan) dan Timbalannya, Superintendan Anuar Abd Rahman @Abd Rahim menunjukkan gambar lelaki yang diburu polis kerana menghina anggota polis yang maut. FOTO Zuliaty Zulkiffli
ADZLI (kanan) dan Timbalannya, Superintendan Anuar Abd Rahman @Abd Rahim menunjukkan gambar lelaki yang diburu polis kerana menghina anggota polis yang maut. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Katanya, dia direman sehingga 16 Januari ini untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh satu tahun atau kedua-duanya sekali.

"Kes juga disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana menggunakan perkataan yang kurang sopan, menggugut, aib atau menghina yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100," katanya.

Dalam pada itu, pihaknya turut mengesan seorang lagi lelaki yang turut melakukan perbuatan sama di FB yang dikenali sebagai Ibrahim Jaludin berusia 45 tahun yang berasal dari Kampung Satap, Sibuti, Bekenu di Sarawak.

"Kita percaya lelaki itu masih berada di semenanjung dan kita sedang mengesannya untuk membantu siasatan," katanya.

Menurut Adzli, kedua-dua komen di FB itu menghina Allahyarham Koperal K Mahadir Elis, 38, iaitu anggota polis yang meninggal dunia selepas dilanggar motosikal ketika mengejar penjenayah di Padang Temusu, Jumaat lalu.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi Jumaat lalu, Mahadir meninggal dunia selepas dilanggar sebuah motosikal ketika melintas jalan di Padang Temusu, sewaktu mengejar suspek yang dikehendaki polis kerana terbabit dalam kegiatan pecah rumah, curi kenderaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2021 @ 12:05 PM