Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Ibu bapa murid tahun satu sesi 2021 akan dihubungi oleh guru kelas masing-masing sebelum sesi persekolahan bermula 20 Januari ini.

Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Radzi Jidin berkata, walaupun tidak bersemuka di sekolah, guru kelas bertanggungjawab menyelia dan berhubung dengan ibu bapa bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

"Kita mempunyai senarai semua murid tahun satu yang akan masuk ke sekolah dan akan ditempatkan di mana.

"Guru terbabit akan berhubung dengan ibu bapa untuk memaklumkan mengenai kelas anak masing-masing sekaligus membolehkan PdPR dilakukan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

DR Radzi Jidin ditemui dalam sebuah sidang media mengenai pengumuman pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM. FOTO Bernama
DR Radzi Jidin ditemui dalam sebuah sidang media mengenai pengumuman pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM. FOTO Bernama

Sementara itu mengenai isu buku teks, beliau berkata, proses pemulangan dan pengambilannya akan dimaklumkan oleh pihak sekolah dalam masa terdekat.

"Kita sedar penggunaan buku teks adalah penting untuk pembelajaran di rumah jadi pihak sekolah akan maklumkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2021 @ 6:47 PM