GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Majikan yang melanggar dan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dikenakan kompaun dan penutupan premis.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, tindakan itu diambil mengikut Seksyen 25 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).

Mohamed Azmin berkata, langkah itu bertujuan memastikan syarikat dan majikan mematuhi SOP ditetapkan.

"MITI dengan kerjasama pihak berkuasa negeri akan menjalankan penguatkuasaan secara berkala sepanjang tempoh PKP.

"Majikan yang didapati melanggar dan tidak mematuhi SOP akan dikenakan tindakan undang-undang.

"MITI sudah menyediakan senarai soalan lazim untuk membantu pihak industri mendapatkan maklumat mengenai SOP ditetapkan kerajaan bagi membolehkan sektor pengilangan dan pembuatan untuk beroperasi dalam tempoh PKP," katanya pada kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamed Azmin turut menyeru pihak industri dan swasta mempertingkatkan pelaksanaan Bekerja Dari Rumah (BDR) sebagai norma baharu selari dengan kecanggihan teknologi terkini dan aplikasi atas talian.

Sebagai barisan hadapan ekonomi negara, MITI akan terus memastikan persekitaran dalam negara yang kondusif dan mesra perniagaan bagi merancakkan aktiviti ekonomi beroperasi dengan lancar serta terus berkembang.

"MITI sudah memaklumkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM)

berhubung perkara itu bagi memudahkan pergerakan di operasi sekatan jalan raya (SJR).

"Langkah itu selaras dengan objektif untuk mengekang penularan pandemik Covid-19 yang menetapkan hanya 30 peratus pekerja dalam kumpulan pengurusan dibenarkan berada di pejabat," katanya.

Manakala jumlah pekerja kumpulan sokongan dan pekerja yang terbabit secara langsung dalam bahagian pengeluaran, ia akan ditentukan oleh majikan masing-masing dengan mengambil kira pematuhan ketat SOP.

"Bagi kerja yang tidak memerlukan kehadiran secara fizikal, arahan BDR akan berkuatkuasa," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2021 @ 5:30 PM