Maiamalina Mohamed Amin dan Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Pendekatan lebih tegas diambil kerajaan ketika ini dalam menangani penularan kes Covid-19, berikutan nilai R atau R-Naught semasa pada paras 1.1 kadar kebolehjangkitan, dengan unjuran kes harian dijangka mencecah 5,000 kes sehari pada minggu kedua April tahun ini.

"Dan ia akan melonjak kepada 8,000 kes sehari pada minggu keempat bulan Mei 2021. Semakin tinggi nilai R ini, semakin sukar untuk mengawal penularan kerana semakin ramai yang telah dijangkiti," kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut beliau, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu berjaya menurunkan nilai R kepada 0.335, sekali gus mengurangkan kes jangkitan Covid-19 kepada angka satu hingga dua digit sehari.

Untuk itu, beliau berkata, kerajaan bersetuju dengan pandangan bahawa satu tindakan tegas perlu diambil untuk memutuskan rantaian jangkitan penularan virus Covid-19.

"Juga selepas mengambil kira penilaian risiko dilakukan Kementerian Kesihatan Malaysia, Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta pelbagai kementerian dan agensi serta nasihat pakar-pakar kesihatan awam di dalam negara," katanya pada Perutusan Khas mengenai PKP di sini, hari ini.

ORANG ramai mengikuti perkembangan perutusan khas yang di sampaikan oleh Perdana Menteri. FOTO Aswadi Alias
ORANG ramai mengikuti perkembangan perutusan khas yang di sampaikan oleh Perdana Menteri. FOTO Aswadi Alias

Malaysia mula merekodkan kes harian empat digit bagi Covid-19 pada 24 Oktober lalu iaitu sejumlah 1,228 kes dan bermula penghujung November, fenomena kes harian empat digit wabak itu berterusan setiap hari sehinggalah rekod tertinggi yang dilaporkan pada Khamis lalu (7 Januari) dengan 3,027 kes.

Muhyiddin berkata, dalam gelombang ketiga yang bermula 20 September lalu, data menunjukkan berlaku peningkatan ketara bilangan kluster berbanding ketika gelombang kedua yang keseluruhannya terdapat 586 kluster setakat semalam.

"Sebanyak 48.46 peratus adalah kluster melibatkan tempat kerja dengan 254 kluster masih aktif manakala, 332 kluster diisytiharkan tamat.

"Sepanjang tempoh gelombang ketiga penularan jangkitan di Malaysia, trend kes import didapati terkawal tetapi kes-kes penularan tempatan terus meningkat melibatkan golongan bukan warganegara dan warganegara," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 January 2021 @ 7:33 PM