Maiamalina Mohamed Amin dan Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Calon peperiksaan utama terutama di negeri dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi sesi 2020 dan 2021 dibenarkan hadir ke sekolah dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun terdapat sekatan pergerakan yang ketat khususnya di negeri dikenakan PKP, pengecualian diberikan kepada pelajar dan calon peperiksaan utama termasuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.

"Mereka dibenarkan hadir ke sekolah dengan SOP yang ketat. Pihak Kementerian Pelajaran Malaysia akan memperincikan SOP ini," katanya dalam Perutusan Khas PKP, hari ini.

GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

Selain itu, Muhyiddin berkata, bagi aktiviti keagamaan, hanya ahli jawatankuasa masjid atau rumah ibadat dibenarkan hadir di negeri yang dilaksanakan PKP dengan jumlah maksimum lima orang.

"Bagi negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, aktiviti keagamaan masih dibenarkan dengan bilangan kehadiran minimum yang ditetapkan dalam SOP.

"Pihak berkuasa agama negeri disaran untuk memberi penetapan yang bersesuaian dalam menetapkan jumlah kehadiran yang dibenarkan," katanya.


  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 January 2021 @ 6:50 PM