DR Adham Baba. FOTO Mohd Fadli Hamzah
DR Adham Baba. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, seolah-olah membayangkan tindakan dan langkah lebih ketat akan diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin petang ini, dalam usaha kerajaan menurunkan jumlah kes harian jangkitan Covid-19.

Dr Adham berkata, langkah yang akan diumumkan itu dijangka membolehkan berlaku penurunan jumlah kes.

Beliau sebelum itu ditanya berhubung unjuran dimaklumkan Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sebelum ini bahawa perkhidmatan kesihatan negara berkemungkinan tidak dapat menampung jumlah pesakit jika kes harian mencecah 5,000 sehari,

Katanya, unjuran kes harian Covid-19 sebanyak 5,000 oleh Ismail Sabri dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah itu boleh berlaku jika tidak ada apa-apa langkah dilaksanakan bagi menanganinya.

"Perdana Menteri akan mengumumkan langkah-langkah yang sangat perlu untuk mengawal jangkitan Covid-19. Tentu sekali kita akan melihat penurunan jumlah kes sekiranya langkah yang akan dilaksanakan itu bertepatan.

"Kita perlukan sokongan masyarakat terutama untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) terutama mengamalkan penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka dan hidung, kerap mencuci tangan dan juga sentiasa menegur rakan-rakan untuk tidak sembang dekat atau berada dalam kawasan yang sesak tanpa memakai pelitup muka dan hidung selain tidak perlu keluar tanpa ada sebab," katanya pada sidang media, hari ini.

Muhyiddin dijangka >menyampaikan Perutusan Khas Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 6 petang ini, susulan peningkatan kes jangkitan Covid-19 sebanyak empat angka sejak Disember lalu.

Dr Adham berkata, ia adalah perkara penting yang harus terus diamalkan sementara menunggu bekalan vaksin Covid-19 tiba dan diagihkan di negara ini.

Beliau berkata, melalui perjanjian dengan syarikat farmaseutikal Pfizer yang ditandatangani pagi ini untuk pemerolehan vaksin berkenaan, diyakini bekalannya akan diperolehi pada suku tahun pertama tahun ini.

Pada masa sama, beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa mempersiapkan segala peralatan yang diperlukan oleh hospital seperti katil, wad, Unit Rawatan Rapi (ICU) dan alat bantuan pernafasan bagi rawatan pesakit Covid-19.

Apa yang penting, Dr Adham berkata, sumber manusia amat diperlukan, justeru KKM sentiasa memastikan tenaga kerja yang mencukupi ada pada setiap masa bagi merawat kes di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) termasuk di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang; Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) serta beberapa pusat lain yang sudah diwartakan.

"Tempat ini sebenarnya bersedia untuk menerima pesakit Covid-19 berisiko rendah tahap satu dan dua manakala pesakit berisiko tinggi dirawat di hospital KKM.

"Kita juga sedang mempersiapkan supaya hospital swasta juga berperanan merawat kes Covid-19 pada masa hadapan," katanya.

Sementara itu, Dr Adham berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung penjualan peralatan dan kit mengesan jangkitan Covid-19 atau vaksin dijual di pasaran gelap, di negara ini.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 January 2021 @ 5:03 PM