M Hifzuddin Ikhsan

Alor Setar: Perbalahan yang dilihat berlaku antara Pas, Umno dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dianggap sebagai urusan dalaman parti yang diyakini mampu diselesaikan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, tiga parti Melayu berkenaan kini sedang menerajui kerajaan dan hanya pihak luar yang menganggap berlaku ketegangan dalam kalangan pemimpinnya ketika ini.

"Kami sudah berkeluarga sekarang, dalam satu rumah semua parti Melayu Islam. Kita utamakan perpaduan Melayu Islam dan pada masa sama masyarakat majmuk di negara ini juga bersama kita.

"Keadaan (perang mulut pemimpin) Umno, Pas dan Bersatu adalah urusan dalam rumah, orang dengar bising kerana kita hendak alih perabot, masalah akan selesai nanti," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Sesi Libat Urus bersama peladang di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Sumber Manusia Awang Hashim dan Pengerusi Mada, Ahmad Tarmizi Sulaiman.

Abdul Hadi berkata, ketidaktentuan dalam politik negara dijangka membuatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) bertambah kukuh kerana tiada parti mempunyai majoriti bagi membentuk Kerajaan Pusat baharu.

ABDUL Hadi  Awang. FOTO arkib NSTP
ABDUL Hadi Awang. FOTO arkib NSTP

"PAS kekal tetap mempertahan PN dan memperkasa Muafakat Nasional (MN), sehingga hari ini kita menganggap kerajaan PN masih kukuh dan kuat.

"Ini kerana semua parti tidak boleh tubuh kerajaan. Umno tidak boleh terima DAP, begitu juga sebaliknya, Tun (Dr Mahathir Mohamad) tidak terima (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim), Anwar tidak terima Tun," katanya.

Mengulas mengenai pembahagian kerusi antara PN dan MN, beliau menjelaskan ia belum diputuskan lagi berikutan tarikh PRU-15 belum diketahui dan keadaan ketika ini juga dilihat tidak sesuai diadakan pilihan raya.

"Bila tahu pilihan raya bila kita tentukan (pembahagian kerusi), ia boleh berubah dan kita akan ikut kesesuaian, namun apa pun kita akan serah pada Pusat untuk tentukan.

"Keadaan juga tidak sesuai, masih dalam suasana Covid-19, usaha menyelesaikan mangsa banjir juga tidak selesai lagi. Biar selesai semua baru kita fikir adakan pilihan raya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 January 2021 @ 3:22 PM