DATUK Seri Sulaiman Md Ali berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2021 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka. FOTO Iqmal Haqim Rosman
DATUK Seri Sulaiman Md Ali berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2021 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Amir Mamat


Ayer Keroh: Kerajaan Melaka menggerakkan pihak berkuasa tempatan di negeri ini bagi melaksanakan misi bantuan banjir ke kawasan terjejas di beberapa negeri seperti Pahang dan Johor dalam masa terdekat.

Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, misi itu sebagai inisiatif keprihatinan kerajaan Melaka terhadap negeri yang paling teruk terjejas dengan bencana alam terbabit sejak bulan lalu.

Beliau berkata, bantuan pasca banjir itu akan membabitkan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Majlis Perbandaran Alor Gajah dan Majlis Perbandaran Jasin.

"Bantuan yang kita akan laksanakan tertumpu kepada aktiviti pembersihan pasca banjir di beberapa lokasi yang terjejas teruk terutama di Pahang," katanya selepas menyampaikan amanat tahun baharu 2021 dan melakukan Pra Pelancaran Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, di sini, hari ini.

Sementara itu, ketika menyampaikan amanat berkenaan, Sulaiman berkata, sebanyak tujuh perkara dijadikan teras dan panduan yang wajib dilaksanakan penjawat awam negeri itu dalam menggerakkan tanggungjawab mereka.

Katanya, teras dan panduan itu adalah kesungguhan dan tekun bekerja dalam kalangan penjawat awam, menjadikan tahun 2021 sebagai tahun melaksanakan perancangan yang dibuat sebelum ini serta menjayakan polisi kerajaan negeri iaitu `hari-hari' adalah hari bertemu rakyat.

"Selain itu, hasil daripada 40 inisiatif yang membabitkan rakyat secara langsung, visi, misi dan pembolehdaya negeri, tiada alasan apabila berlaku ketirisan serta kegagalan dalam menyampaikan perkhidmatan dan yang terakhir, setiap agensi di bawah kerajaan negeri perlu mempunyai Petunjuk Prestasi Utama dan Pelan Strategik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 January 2021 @ 2:31 PM