Nurul Amanina Suhaini


Kota Tinggi: Sungai Johor dijangka melimpah susulan hujan lebat di beberapa kawasan sekitar daerah ini yang bukan sahaja akan mengakibatkan banjir terutama di kawasan bandar, selain menyaksikan jalan utama terjejas.

Tinjauan di Sungai Johor mendapati air sungai mulai deras pada hari kemuncak setakat hari ini, selain beberapa kediaman dinaiki air di saat penduduk mulai mengemas peralatan rumah.

Kenderaan di jalan utama bergerak perlahan dan hanya dilalui kenderaan pelbagai guna (MPV) dan pacuan empat roda berikutan air naik setinggi kira-kira 0.61 meter.

Penduduk Kampung Kelantan, Rahim Hashim, 50, berkata dia sekeluarga mengharapkan supaya dapat pulang ke rumahnya semula selepas lebih seminggu ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mawai, dekat sini, namun tidak menyangka hujan lebat semula sehingga mengakibatkan banjir.

"Belum pun reda keadaan banjir, kini saya sekeluarga terpaksa ditempatkan lebih lama di PPS. Dua tiga hari ini, saya memang ulang-alik balik ke rumah untuk mengemas dan membersihkannya, malangnya banjir berulang kembali.

"Memang saya boleh agak banjir kali ini akan teruk berikutan penduduk setempat memaklumkan minggu lalu ada terdengar bunyi dentuman di Sungai Bedil, dekat sini, ibarat petanda bencana banjir akan melanda daerah ini.

"Kerugian yang dialami membabitkan belasan ribu termasuk kereta rosak, kediaman juga. Apabila melihat keadaan sekeliling rumah sebegini, saya tidak mampu melakukan apa-apa. Keselamatan keluarga menjadi keutamaan pada ketika ini," katanya ketika ditemui di Kampung Kelantan, dekat sini, hari ini.

Sementara itu, peniaga, Nashyta Saad, 36, berkata perniagaan menjual makanan yang diusahakan sejak 2018 lalu, terjejas apabila bencana yang melanda daerah ini tidak boleh dijangka bila akan berlaku.

"Sebelum ini, saya mula berniaga di Medan Selera Muafakat, dekat sini, namun di situ selalu banjir. Jadi, saya berpindah membuka khemah niaga berhampiran dengan Sungai Johor, selain kini boleh dikatakan sudah dua bulan.

"Tidak dinafikan berisiko berniaga di sekitar sungai berkenaan, ini kerana apabila teruk sangat cuaca, air sungai akan melimpah, saya baru sahaja mula berniaga apabila sudah lebih seminggu aktiviti perniagaan tertunggak. Tapi, tidak mustahil akan tutup lagi di sini apabila air naik," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R Vidyananthan berkata, jumlah mangsa banjir menunjukkan peningkatan dengan 645 orang daripada 183 keluarga ditempatkan di 14 PPS setakat 12 tengah hari, berbanding hanya 479 orang daripada 128 keluarga di sembilan PPS, pagi tadi.

SUNGAI Johor dijangka melimpah susulan hujan lebat di beberapa kawasan sekitar daerah ini yang bukan sahaja akan mengakibatkan banjir terutama di kawasan bandar, selain menyaksikan jalan utama terjejas. FOTO Nurul Amanina Suhaini
SUNGAI Johor dijangka melimpah susulan hujan lebat di beberapa kawasan sekitar daerah ini yang bukan sahaja akan mengakibatkan banjir terutama di kawasan bandar, selain menyaksikan jalan utama terjejas. FOTO Nurul Amanina Suhaini

"Daerah terjejas meliputi Kota Tinggi dengan peningkatan jumlah mangsa dan pertambahan lima PPS yang baharu sahaja dibuka.

"PPS yang diaktifkan di daerah berkenaan termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Ramunia, SK Lepau, SK Kampung Kapal, SK Sungai Telor dan SJKC Yok Poon, dekat sini.

"Sehingga kini, Jalan Felda Semenchu, di Kota Tinggi, dan Jalan Tanah Abang, di Mersing ditutup sepenuhnya bagi semua kenderaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 January 2021 @ 3:30 PM