PIL kuda dan syabu yang dirampas di rumah di Felda Kemahang 3. FOTO Ihsan PGA
PIL kuda dan syabu yang dirampas di rumah di Felda Kemahang 3. FOTO Ihsan PGA
Siti Rohana Idris


Tanah Merah: Dinding yang ditutup dengan sehelai kain rupanya menyembunyikan 253 biji pil kuda dan lima tiub berisi dadah jenis syabu dengan berat 4.48 gram.

Serbuan yang dibuat di sebuah rumah di Felda Kemahang 3, di sini pada jam 9 pagi tadi turut menahan dua beradik dipercayai pengedar dadah bersama seorang lagi rakannya.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7), Superintendan Azhari Nusi berkata, ketika serbuan dibuat, tiga lelaki berusia 27 hingga 30 tahun berada dalam rumah terbabit.

"Ketiga mereka didapati dalam keadaan khayal kesan penagihan dadah dan anggota menjalankan pemeriksaan tubuh badan ke atas semua suspek namun tiada menjumpai apa-apa barang larangan.

"Hasil pemeriksaan di penjuru dinding bilik yang bertutup dengan kain langsir menemui satu beg kecil berzip warna biru yang mengandungi sejumlah pil kuda dan syabu dianggarkan bernilai RM2,978," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Azhari berkata, siasatan awal mendapati bekalan dadah itu diperoleh daripada seorang lelaki yang dikenali dengan nama Mie Tok Cha.

Menurutnya lagi, dadah itu adalah pasaran untuk penagih di sekitar kawasan Felda Kemahang, di sini.

"Hasil ujian saringan mendapati, ketiga-tiga suspek adalah positif dadah jenis methampethamine dan masing-masing memiliki dua rekod lampau berkait dadah.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB 1952, Seksyen 12 (2) ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a)ADB 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 January 2021 @ 7:26 PM