GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Juwan Riduan

Labuan: Seramai 13 individu dikenakan kompaun selepas melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), dalam operasi pemeriksaan di pusat bandar, di sini, semalam.

Operasi bermula kira-kira jam 10 malam itu dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan di dua premis kafe dan restoran.

Pemangku Ketua Polis Daerah Labuan, Deputi Superintendan Mohd Ibrahim Mohd Ghani berkata, pemeriksaan yang dibuat di dua premis itu mendapati beberapa pelanggan melakukan pelanggaran SOP.

Katanya, seramai 11 individu didapati tidak mengamalkan penjarakan fizikal manakala dua lagi tidak mengimbas aplikasi My Sejahtera atau tidak merekod kehadiran pelanggan.

"Individu yang dikompaun terdiri daripada 13 lelaki termasuk dua warga asing berusia lingkungan 28 hingga 48 tahun.

"Kompaun bernilai RM1,000 itu perlu dijelaskan oleh semua pesalah dalam tempoh 14 hari," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Ibrahim berkata, kesalahan dilakukan mengikut Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (LLDKJ) (No 8) 2020.

Sehubungan itu, Mohd Ibrahim menasihati warga Labuan supaya sentiasa mematuhi SOP PKPP pada ketika ini.

Katanya, kegagalan mematuhi peraturan yang ditetapkan akan menyebabkan lebih ramai dikenakan tindakan kompaun pada masa akan datang.

"Pemantauan akan diadakan secara berterusan iaitu 24 jam sehari oleh pasukan pemantau IPD Labuan dalam usaha mengekang peningkatan jangkitan Covid-19 dalam kalangan masyarakat Labuan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 January 2021 @ 6:00 PM