Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Semua guru dan pensyarah yang akan pulang ke Sabah dan Sarawak diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19.

Bagaimanapun, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kos saringan mereka dan keluarga akan ditanggung kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Guru dan pensyarah yang akan pulang untuk memulakan tugas apabila sekolah serta Institut Pengajian Tinggi (IPT) dibuka, mereka perlu menjalani ujian saringan.

"Mereka ke Sabah boleh terus melakukan ujian tiga hari sebelum pulang ke negeri berkenaan manakala bagi ke Sarawak pula boleh melakukan ujian saringan sebelum atau setibanya di lapangan terbang negeri itu," katanya dalam sidang media hari ini.

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.

Selain itu, beliau berkata, guru dan pensyarah yang pulang ke Sarawak juga diwajibkan menjalani kuarantin oleh kerajaan negeri.

Katanya, kos kuarantin terbabit akan ditanggung oleh kerajaan negeri.

"Sarawak menetapkan mereka perlu dikuarantin sama ada di Institut Pendidikan Guru (IPG) atau mana-mana tempat yang dipersetujui kerajaan negeri dengan kos ditanggung oleh kerajaan negeri," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 January 2021 @ 6:13 PM