FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Mohd Amin Jalil


Seremban: Umat Islam di negeri ini diingatkan supaya tidak menambah masa lapan minit pada jadual solat fardu dikeluarkan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

Ia berikutan tular di laman sosial berhubung keperluan menambah lapan minit bagi waktu solat Subuh di Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Mufti Negeri Sembilan Datuk Mohd Yusof Ahmad berkata, takwim solat 1442H dikeluarkan pihaknya itu meletakkan waktu Subuh sebenar dan tidak perlu ditambah lagi.

"Takwim Hijri 1442H diedarkan oleh MAINS mengikut waktu solat yang sebenar tanpa perlu ada penambahan lapan minit secara manual.

"Sehubungan itu, semua masyarakat Islam di negeri ini khususnya pihak masjid dan surau perlu merujuk waktu solat dalam Takwim Hijri 1442H yang telah diedarkan oleh MAINS sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Yusof berkata, umat Islam disarankan supaya tidak mudah terpengaruh dengan maklumat disebarkan di media sosial tanpa dibuktikan sahih.

"Adalah lebih baik merujuk kepada pihak berkuasa agama bagi mendapatkan kepastian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 January 2021 @ 5:54 PM