GAMBAR Hiasan
GAMBAR Hiasan
Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Seorang guru lelaki terkejut apabila wang simpanan miliknya berjumlah RM75,000 yang disimpan dalam akaun bank lesap selepas dia memuat turun aplikasi kononnya dari Bank Negara baru-baru ini.

Mangsa berusia 28 tahun pada mulanya mendapat panggilan telefon daripada individu mendakwa pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang memaklumkan dirinya mempunyai tunggakan cukai syarikat.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata panggilan mangsa kemudian disambungkan kepada individu lain yang mendakwa pula sebagai anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang.

"Anggota polis itu memberitahu mangsa bahawa dia terbabit dengan kes dadah dan pengubahan wang haram. Disebabkan panik mangsa terus mengikuti arahan polis terbabit dengan memuat turun aplikasi kononnya dari Bank Negara sebelum mengisi maklumat perbankan miliknya.

"Tidak lama kemudian, mangsa terkejut apabila wang simpanannya berjumlah RM75,000 lesap melalui transaksi yang dibuat suspek, merasa diri ditipu mangsa membuat laporan polis semalam untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Jelasnya, siasatan mendapati mangsa terjerat dengan sindiket penyamaran sebagai pegawai kerajaan melalui pangilan telefon.

"Polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes ini dan meminta orang awam supaya tidak mudah terpedaya dengan sindiket penipuan yang semakin berleluasa," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 January 2021 @ 3:31 PM