DUA penyu yang ditemui mati di perairan Port Dickson. FOTO Ihsan Jabatan Perikanan
DUA penyu yang ditemui mati di perairan Port Dickson. FOTO Ihsan Jabatan Perikanan
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Dua ekor penyu spesies agar dan karah berusia lebih 20 tahun ditemui mati terdampar di perairan Port Dickson dalam tempoh kurang dua minggu.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Sembilan, Halimi Abu Hanip berkata, penyu agar dianggarkan seberat 120 kilogram (kg) ditemui di Pantai Teluk Kemang manakala penyu karah seberat 69 kg ditemui di Batu 10, Port Dickson.

"Seekor dijumpai pada 27 Disember lalu dan seekor lagi pada Selasa lalu (5 Januari). Keadaan bangkai penyu ini sudah reput teruk dan penyebab kematian tidak dapat dipastikan.

"Hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang kesan cedera pada penyu berkenaan dan kita tidak pasti punca kematiannya sama ada sakit tua atau khianat," katanya ketika dihubungi tadi.

Menurutnya, reptilia marin terancam itu wujud dalam populasi yang sedikit di Negeri Sembilan dan penting untuk dipelihara.

Katanya, orang ramai diingatkan supaya lebih prihatin dengan tidak mengganggu penyu itu terutama jika menemuinya sedang naik ke pantai untuk bertelur termasuk tidak mengambil telurnya.

"Sabit kesalahan atas perbuatan tidak bertanggungjawab itu boleh dikenakan denda maksimum RM 20,000 atau penjara maksimum 2 tahun atau kedua-duanya di bawah Kaedah-Kaedah Perikanan (Penyu dan Telur Penyu) 1976 Negeri Sembilan dan Akta Perikanan 1985.

"Kita sangat berharap orang ramai yang menjumpai penyu mati atau cedera untuk hubungi talian 06-6472050 atau 06-6621089 atau menghantar mesej di laman rasmi Facebook Jabatan Perikanan Negeri Sembilan untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 January 2021 @ 1:10 PM