GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Sebanyak 36 kawasan di Shah Alam, Klang dan Petaling akan mengalami gangguan bekalan air berjadual pada 12 Januari ini.

Ia berikutan kerja-kerja pengalihan dan penyambungan paip baharu di Persiaran Selangor Seksyen 15 yang akan dilaksanakan bermula jam 9 pagi.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Elina Baseri berkata, susulan kerja-kerja berkenaan 36 kawasan berkenaan akan mengalami gangguan bekalan air berjadual.

"Sebanyak 22 kawasan di Shah Alam, empat di Klang dan 10 di Petaling akan mengalami gangguan bekalan air.

"Bekalan air dijangka akan pulih sepenuhnya pada 9 pagi, 14 Januari," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna serta tekanan air pada sistem agihan.

"Air Selangor menasihatkan pengguna yang terjejas untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemat sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 January 2021 @ 4:39 PM