GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Kerajaan perlu mempertimbangkan pembukaan sekolah hanya untuk pelajar yang bakal menduduki peperiksaan awam berikutan situasi Covid-19 masih lagi di tahap membimbangkan.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata, pihaknya akur dengan keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membuka sesi persekolahan 20 Januari ini, namun beberapa persoalan perlu diperhalusi termasuk peningkatan kes Covid-19 dan bencana banjir yang sedang melanda sesetengah negeri.

"Kita bagi pihak ibu bapa, rasa risau melihat data kenaikan kes Covid-19 agak mendadak di beberapa tempat ditambah lagi dengan bencana banjir pada masa ini.

"Kesiapsiagaan dan kerisauan ibu bapa juga perlu diambil kira kerana saya dengar ada yang rasa mungkin mengambil tindakan sendiri tidak mahu menghantar anaknya ke sekolah nanti.

"Kita juga khuatir mengenai pemberian vaksinasi yang belum dijalankan kepada rakyat negara ini, malah warga pendidik juga perlu diberi keutamaan suntikan vaksin seperti petugas barisan hadapan lain kerana mereka inilah yang mendampingi bakal pemimpin masa depan," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Katanya, perkara itu jika tidak diteliti dan ditangani dengan sebaiknya hanya akan memburukkan keadaan dan menjejaskan sistem pendidikan negara.

"Saya mengharapkan KPM meneliti semula perkara ini dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya memberi sedikit kelonggaran kepada pelajar kumpulan tertentu saja dibenarkan ke sekolah misalnya pelajar yang bakal menduduki peperiksaan awam seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

"Mereka ini memang perlu hadir ke sekolah macam SPM ada masa kira-kira sebulan untuk berbincang dan menyiapkan diri mereka dalam peperiksaan ini yang mana waktu keemasan yang baik bersemuka dengan guru mereka.

"Ini kerana apabila mereka datang ke sekolah, guru akan memberi tumpuan sepenuhnya dan tentunya dapat memanfaatkan kesiapsiagaan pelajar ini dalam menghadapi peperiksaan," katanya.

Beliau berkata, bagi semua kumpulan pelajar dan murid lain terutama golongan kanak-kanak yang mempunyai sistem imun lemah dan mudah dijangkiti virus perlu diberi kelonggaran meneruskan sesi pembelajaran dan pengajaran (PdP) secara dalam talian di rumah.

"Mungkin boleh tangguhkan kemasukan pelajar atau murid lain sehingga 31 Mac selari dengan lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di seluruh negara.

"Aturkan dengan sebaiknya dan perkasakan lagi PdP dalam talian untuk golongan yang tidak menduduki peperiksaan penting ini kerana langkah ini juga selaras dengan konsep KKM 'kita jaga kita'.

"Begitu juga dengan mereka yang duduk di zon merah perlu duduk di rumah disiplin menjaga diri dan kesihatan supaya tidak menyebarkan virus kepada orang di kawasan lain," katanya.

Ogos lalu, Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan keputusan kerajaan memuktamadkan pembukaan sesi penggal pertama persekolahan di seluruh negara bagi tahun 2021 agak lewat berbanding biasa iaitu pada 20 Januari ini susulan Covid-19.

Namun, pindaan takwim persekolahan itu kembali menjadi kebimbangan ramai terutama ibu bapa susulan peningkatan mendadak kes Covid-19 dalam negara kebelakangan ini selain banjir yang masih melanda beberapa negeri.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 January 2021 @ 12:03 PM