GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Izzati Mohamad
am@hmetro.com.my


Butterworth: Mayat lelaki tanpa identiti dalam keadaan mengerikan dengan beberapa bahagian anggota badan hancur ditemui di bawah jejantas pejalan kaki berhampiran sebuah gedung menjual barangan cenderamata di Jalan Jelawat, Seberang Jaya, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, polis menerima panggilan berhubung penemuan mayat itu pada jam 8.03 malam dan ke lokasi kejadian untuk melakukan pemeriksaan.

"Polis tidak menemui sebarang pengenalan diri pada mayat dan secara pandangan kasar didapati mangsa berusia lingkungan 40-an.

"Hasil siasatan mendapati mangsa dipercayai membunuh dirinya dengan terjun dari jejantas pejalan kaki sebelum dilanggar kenderaan yang melalui jalan berkenaan.

"Ini berikutan terdapat selipar milik mangsa ditemui di jejantas terbabit," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang berdekatan tidak menghala ke tempat kejadian malah tiada saksi bebas yang menyaksikan insiden itu.

Shafee berkata, mangsa mengalami kecederaan parah dan maut di lokasi kejadian.

Mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk proses bedah siasat.

"Laporan bedah siasat mendapati mangsa mengalami kecederaan parah dengan tempurung kepala hancur dan mengalami patah lengan kiri serta paha kanan.

"Punca utama kematiannya adalah disebabkan mengalami pelbagai kecederaan akibat jatuh dari tempat tinggi dan dilanggar kenderaan," katanya.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 January 2021 @ 10:56 AM