Anggota Bomba dan Penyelamat Port Dickson dan Seremban 2 berjaya memadamkan kebakaran bengkel kimpalan di Taman Perindustrian Perdana, Lukut, Port Dickson. FOTO IHSAN BOMBA
Anggota Bomba dan Penyelamat Port Dickson dan Seremban 2 berjaya memadamkan kebakaran bengkel kimpalan di Taman Perindustrian Perdana, Lukut, Port Dickson. FOTO IHSAN BOMBA
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun dikejarkan ke Hospital Port Dickson (HPD) akibat sesak nafas kerana terhidu asap dalam kebakaran bengkel kimpalan Taman Perindustrian Perdana, Lukut, di sini tengah hari ini.

Kejadian berlaku pada 12.15 tengah hari ketika remaja itu tinggal seorang diri di tingkat atas bengkel kimpalan kerana keluarganya pergi ke Puchong, Selangor untuk menghantar barang.

Menurut saksi kejadian, J Srithar, 49, dia pergi ke tempat kejadian untuk membaiki kenderaannya.

"Sebaik sampai di simpang jalan berhampiran lokasi, kelihatan asap hitam berkepul-kepul lalu saya membunyikan hon untuk meminta bantuan dan cuba memanggil penghuni dalam bengkel itu.

"Tidak lama kemudian, kelihatan seorang remaja berusia 14 tahun melambai-lambai dari jendela di tingkat atas bengkel meminta tolong, lalu membaling kunci pintu jeriji supaya saya membuka pintu," katanya.

Katanya, dia meminta bantuan daripada kenalan di bengkel berdekatan untuk memberitahu kejadian itu kepada ibu mangsa, Norhayati Talib, 37, yang masih berada di Puchong.

Remaja itu, Wan Muhammad Adam Wan Ariffin, 14, dikejarkan ke Hospital Port Dickson oleh orang awam akibat sesak nafas.

Sementara itu, Komander Operasi, Mohd Hairul Izam Mazelan berkata, ibu bapa mangsa baru saja keluar untuk ke Puchong.

"Sebelum kejadian, Adam memaklumkan dia tidak mahu ikut kerana penat berikutan baru balik dari kampung di Johor (semalam).

"Difahamkan, keluarganya seramai lima orang menetap di tingkat atas bengkel kimpalan itu sejak enam tahun lalu kerana ketua keluarga itu bekerja sebagai tukang besi di bengkel itu," katanya ketika dihubungi tadi.

Beliau berkata, bomba terpaksa memecahkan 'Roller Shutter' bengkel di pintu utama dan membuat pengudaraan 'ventilation' untuk memadam kebakaran.

Menurutnya, peratusan kebakaran di bahagian dapur adalah 30 peratus dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 January 2021 @ 8:18 PM