SERAMAI 126 individu ditahan dalam operasi di sebuah pusat hiburan di Ipoh awal kira-kira jam 1.30 pagi tadi. FOTO IHSAN IPK PERAK
SERAMAI 126 individu ditahan dalam operasi di sebuah pusat hiburan di Ipoh awal kira-kira jam 1.30 pagi tadi. FOTO IHSAN IPK PERAK
Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Polis menggempur sebuah pusat hiburan, di sini, sebelum menahan 126 individu selepas didapati ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), hari ini.

Dalam serbuan Op Pusat Hiburan pada 1.30 pagi, seramai 54 daripada mereka turut didapati positif dadah.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, sepasukan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak melakukan pemeriksaan selepas menerima maklumat.

Menurutnya, pihaknya menahan 126 pengunjung terdiri daripada 92 lelaki tempatan, satu lelaki warga China, 32 perempuan tempatan dan seorang perempuan warga China.

"Saringan ujian air kencing mendapati 53 lelaki tempatan dan satu lelaki warga China positif dadah methamphetamine, amphetamine dan ketamin.

"Semua suspek yang positif dadah disiasat mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya dalam kenyataan, di sini.

Menurutnya, seramai 124 pengunjung dikompaun mengikut Seksyen 12 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana gagal mematuhi penjarakan fizikal.

Katanya, seorang penjaga pusat hiburan berkenaan pula disiasat mengikut Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1997 kerana menjalankan perniagaan hiburan tanpa lesen sah.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 January 2021 @ 8:03 PM