KEPALA Muhammad Izz Rizqy yang membesar membimbangkan Mohd Nor dan isterinya. FOTO NAZRI ABU BAKAR
KEPALA Muhammad Izz Rizqy yang membesar membimbangkan Mohd Nor dan isterinya. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


Melaka: "Kami semakin bimbang berikutan kepala anak kedua yang berusia tiga bulan semakin membesar," kata Nor Muhammad Khalil iaitu bapa kepada bayi pramatang, Muhammad Izz Rizqy.

Nor Muhammad, 24, berkata doktor memberitahu penyakit hydrocephalus dialami menyebabkan terdapat cecair berada di bahagian otak yang menjadi punca pembesaran berkenaan.

Katanya, selepas tiga bulan lapan hari dirawat di hospital, anaknya dibenarkan pulang, Rabu lalu, selepar membuat pengukuran di rumah, dia mendapati berlaku pertambahan pembesaran satu sentimeter.

Dia yang menetap Kampung Batu 7, Pengkalan Minyak, Ayer Molek, di sini, berkata tugas menjaga Izz agak mencabar kerana memerlukan perhatian dan penjagaan rapi berikutan dia pernah diserang sawan.

"Sehubungan itu, buat masa ini saya menetap di rumah ibu mentua di Alai yang membantu menjaga anak bersama isteri, Nur Izza Syamiera Osnain, 23.

"Isteri tidak bekerja dan turut menjaga anak sulung kami yang dilahirkan ketika kandungan tujuh bulan dan kini berusia dua tahun.

"Doktor pakar menyatakan separuh otaknya mati dan mengalami angin ahmar di bahagian depan sementara bahagian belakang dan tengah masih berfungsi," katanya.

Menurutnya, ada kemungkinan bayinya itu akan terlantar di katil sebelum dijangka mula ada pergerakan ketika berusia tiga atau empat tahun.

Katanya, dia khuatir kepala anaknya akan membesar walaupun kini menggunakan lima jenis ubat dibekalkan pihak hospital.

"Saya bekerja di restoran makanan segera di Semabok manakala isteri tidak bekerja, jadi kami amat terkesan dengan situasi ini.

"Bagaimanapun, kami tetap tabah dan reda dengan ujian sendiri. Saya tetap bekerja keras untuk menampung keperluan kehidupan keluarga dan bersedia menghadapi kemungkinan sekiranya anak terpaksa dibedah nanti," katanya.

Orang ramai yang ingin mambantu boleh menyumbangkan ke akaun Maybank 154080172894 milik Nur Izza Syamiera Osnain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 January 2021 @ 4:53 PM