PENGUNJUNG pusat hiburan yang dikompaun. FOTO ihsan polis
PENGUNJUNG pusat hiburan yang dikompaun. FOTO ihsan polis
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Kedegilan 48 pengunjung berhibur di premis hiburan di Jalan Tun HS Lee, di sini, mengundang padah apabila tempat itu diserbu polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, polis menyerbu premis itu jam 2 pagi dan memeriksa 48 pengunjung terdiri 17 warga tempatan dan 31 warga asing berusia 20 hingga 45 tahun.

Menurutnya, semakan mendapati premis berkenaan mempunyai lesen hiburan yang sah dikeluarkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Dalam pemeriksaan itu, polis mengambil tindakan kompaun mengikut Peraturan 13, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No.9) 2020 ke atas warga tempatan.

"Warga asing pula ditahan mengikut Sekyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 56 (1) (l) Akta sama," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis memberi amaran kepada orang ramai, warga asing dan pengusaha pusat hiburan supaya terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Individu yang tidak mematuhi perintah ini akan dikenakan tindakan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No.9) 2020 dan lain-lain peruntukan undang-undang yang masih berkuat kuasa.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan perlanggaran PKPB boleh menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03-2600 2222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berhampiran," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 January 2021 @ 11:45 AM