SHAFIEN meninjau di laluan keluar masuk Madrasah Daril Naim. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
SHAFIEN meninjau di laluan keluar masuk Madrasah Daril Naim. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) rakyat di negeri ini agak rendah dan ramai yang mengambil mudah terhadap langkah pencegahan penularan wabak Covid-19.

Situasi ini semakin membimbangkan dengan bilangan perantau yang pulang ke negeri ini mengalami peningkatan dan mencecah hampir sekali ganda selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata, keadaan itu boleh dilihat dengan kesesakan jalan raya dan premis kedai makan yang padat namun masih ramai yang ambil mudah terhadap pematuhan SOP terutama ketika berada di tempat awam.

"Saya melihat rakyat ambil mudah termasuk pemakaian pelitup muka, memang ada yang menegur tapi ramai yang hanya melihat jika ada yang tidak mengenakannya.

"Saya sudah arahkan kepada anggota jika ada yang tidak patuh SOP di kawasan awam, tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau ditemui di Madrasah Daril Naim, Melor, di sini ketika memantau kawalan keselamatan sempena penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan itu yang mencetuskan Kluster Halban bermula sejak semalam.

Shafien berkata, langkah pencegahan sebenar adalah bergantung kepada kesedaran masing-masing kerana pihak berkuasa hanya dapat bantu dengan mengambil tindakan sahaja.

"Yang penting adalah kesedaran kepada pematuhan SOP dan setakat ini sebarang vaksin belum diterima malah kaedah yang terbaik adalah jaga SOP," katanya.

Shafien turut mengingatkan kepada mereka yang ingin menganjurkan kenduri, kelulusan yang diperoleh dari pihak berkuasa jangan disalahguna.

Beliau berkata, jika didapati penganjur tidak mematuhi SOP termasuk tidak menyediakan buku pendaftaran tetamu, alat bacaan suhu dan cecair pembasmi kuman, mereka akan berdepan dengan tindakan.

"Setakat ini kita menerima banyak permohonan kerana tarikh kenduri sudah ditetapkan dari awal lagi namun yang paling penting adalah jangan salah guna kelulusan itu.

"Mesti ikut SOP dan dapatkan bantuan anggota Rela untuk kawal tetamu yang hanya dibenarkan seramai 50 orang untuk satu-satu masa..jika ingkar, penganjur dan tetamu akan diambil tindakan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Disember 2020 @ 11:57 PM