Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Samadi Ahmad


Putrajaya: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) giat melakukan usaha penambahbaikan bagi memastikan produk daging yang diimport mematuhi standard Badan Pensijilan Halal Luar Negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, pada masa sama pihaknya bersama Jakim juga mengambil inisiatif mengadakan pemantauan ke beberapa pusat pemprosesan daging lembu tempatan.

Katanya, usaha diadakan dari semasa ke semasa itu bertujuan memastikan kualiti pensijilan halal produk daging yang dihasilkan dalam negara ini berada pada tahap terbaik.

"Saya menyambut baik hasrat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk menubuhkan Jawatankuasa Perundangan dan Penguatkuasaan Halal bagi menyelaraskan tindakan dan isu berkaitan halal," katanya melalui kenyataan media, hari ini.

Pada semalam dan hari ini, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Jakim mengadakan lawatan ke pusat pemprosesan daging tempatan terdiri seperti syarikat Al-Hilal Food Processing Sdn Bhd, Ramly Food Processing Sdn Bhd dan HS Nada Sdn Bhd.

Zulkifli berkata, Jawatankuasa Perundangan dan Penguatkuasaan Halal itu turut dianggotai Jakim dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).

Katanya, pihaknya bersama KPDNHEP juga bersetuju menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu penyeludupan daging dan penyalahgunaan logo halal.

"Semoga hasrat murni ini dipermudahkan Allah SWT demi kemaslahatan umat Islam di negara ini.

"Ucapan terima kasih juga diberikan kepada umat Islam di negara ini kerana terus teguh menyakini kualiti standard Halal Jakim yang diiktiraf di peringkat antarabangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Disember 2020 @ 9:24 PM