FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Pembekal dan pengimport daging sejuk beku ke negara ini dipanggil memberi penjelasan serta fakta lebih tepat kepada Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara.

Pengerusi Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara, Datuk Razali Idris berkata, agensi kerajaan berkaitan dengan pembekalan dan pengimportan daging sejuk beku turut diminta memberi penjelasan dan fakta lebih tepat, wajar serta berkepentingan kepada kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara memandang serius isu kartel daging haram dan perlu diselesaikan secara tuntas oleh agensi kerajaan terbabit, lebih-lebih lagi isu itu membabitkan soal maruah umat Islam.

"Dalam menangani isu itu, semua Ahli Dewan Negara berpandangan isu kartel daging haram perlu disiasat secara terperinci.

"Ahli Dewan Negara mengalu-alukan kerajaan menubuhkan pasukan khas terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan serta mengambil tindakan ke atas mereka yang terbabit, " katanya melalui kenyataan media, hari ini.

Razali yang juga Timbalan Presiden Majlis Senator Malaysia (MSM) berkata, kerajaan digesa mendedahkan jenama produk daging import dari negara sumber tidak sah, termasuk status halal diragui dan kualiti dijual di pasar tempatan dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata, kerajaan perlu mengenal pasti seberapa segera serta membongkarkan dalang bertanggungjawab menguruskan proses import daging beku yang diragui status halal.

"Ahli Dewan Negara ingin mendapatkan penjelasan termasuk mungkin berlakunya monopoli kilang pemprosesan daging halal di luar negara selain mengenal pasti prosedur Jabatan Pemeriksaan Veterinar (DVS) dan kelulusan sijil halal dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Menjadi tanggungjawab dan peranan utama Ahli Dewan Negara untuk membenarkan usul dibahas segera demi kepentingan awam dan kepentingan keselamatan, kesihatan, ekonomi serta kesejahteraan rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Disember 2020 @ 8:33 PM