Dr Hanafiah Bashirun.
Dr Hanafiah Bashirun.
Mohamad Fais Jusoh


Kuala Lumpur: Bagi memastikan rakyat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 yang ditetapkan kerajaan, pakar mencadangkan kadar denda terhadap pelanggaran pematuhan itu dinaikkan.

Pakar Kesihatan Awam, Dr Hanafiah Bashirun berkata, peningkatan kadar denda itu diyakini dapat mendidik masyarakat bagi mematuhi SOP ditetapkan.

"Masyarakat semakin bebas dan bersesak-sesak di tempat tumpuan akan menjadikan risiko penularan Covid-19 lebih tinggi selain mencetuskan kluster baharu.

"Boleh lihat di media sosial, ramai yang berkongsi hantaran keluar bersiar, berjalan malah di tempat ramai hingga tidak patuh kepada penjarakan sosial," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak berkuasa berkaitan hendaklah memainkan peranan dalam memantau perkara berkenaan.

"Kenakan denda atau saman yang lebih tinggi lagi tanpa prejudis kepada mereka yang langgar SOP," katanya.

Pandangan sama turut disuarakan, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan Masyarakat, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Professor Madya Dr Azmawati Mohammed Nawi.

Katanya, hukuman atau denda perlu dinaikkan untuk memberi kesedaran kepada orang ramai yang dilihat makin lalai dan memandang ringan SOP ditetapkan kerajaan.

"SOP ini penting dalam memutuskan rantaian penularan Covid-19. Hukuman denda perlu dinaikkan lagi bagi mendidik mereka supaya patuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Disember 2020 @ 4:50 PM