Datuk Seri Rina Mohd Harun.
Datuk Seri Rina Mohd Harun.
Samadi Ahmad


Putrajaya: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menafikan dakwaan mengutamakan pelantikan 8,000 kakitangan kontrak berbanding lantikan Pegawai Perlindungan Kanak-Kanak dan Pegawai Akhlak.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, JKM sudah mengemukakan sebanyak 1,122 permohonan kepada Kementerian Kewangan (MOF) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi mengisi kekosongan dua perjawatan itu di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, permohonan jawatan itu dibuat mengikut prosedur di bawah Jawatankuasa Mesyuarat Teknikal JKM yang memutuskan keperluan lantikan pegawai di agensi berkenaan.

"Kekosongan jawatan itu adalah keperluan JKM bagi membantu dan melihat permasalahan kanak-kanak, manakala pelantikannya bukan di tangan (bidang kuasa) saya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Korporat Kepada Yayasan Kebajikan Negara (YKN) Malaysia di KPWKM, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengurus Besar Ronald McDonald House Charities, Malaysia (RHMC) Nasri Nordin dan Timbalan Pengarah Urusan Pharmaniaga Bhd Mohamed Iqbal Abdul Rahman.

Pada majlis itu, YKN menerima sumbangan korporat berjumlah RM250,000.

Rina berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh mendakwa kementerian itu tidak serius dalam menstrukturkan semula JKM.

Yeoh yang juga bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) turut mendakwa Rina menjadikan JKM sebagai cabang politiknya.

Dalam pada itu, Rina turut menafikan dakwaan bahawa 8,000 kakitangan kontrak yang dilantik bagi meningkat keupayaan JKM, adalah ahli Srikandi Bersatu.

Menurutnya, beliau tiada kuasa melantik atau menentukan pengisian kekosongan jawatan itu, sebaliknya permohonan mestilah melalui saluran betul yang ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Disember 2020 @ 4:46 PM