Menteri Besar Kedah,  Muhammad Sanusi Md Nor. FOTO AMRAN HAMID
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor. FOTO AMRAN HAMID
Noorazura Abdul Rahman


Sik: Kerajaan negeri Kedah belum bersedia untuk mencadangkan agar pintu sempadan Malaysia-Thailand di tanah besar negeri itu dibuka bagi tujuan pelancongan.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pembukaan pintu sempadan di tanah besar negeri itu akan memberi risiko tinggi jangkitan Covid-19 berikutan bilangan kes positif di Thailand turut menunjukkan trend meningkat.

"Kita belum bersedia untuk mencadangkan pintu sempadan kita dibuka di tanah besar sebab terdapat peningkatan penduduk Thailand dijangkiti Covid-19, difahamkan ia berpunca daripada warga Myanmar yang bekerja dalam sektor industri di negara itu.

"Risiko seperti ini kita tak mahu, jika pelancong dari sana seperti dari Satun ke Langkawi pun kita belum bersedia," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri bahawa kerajaan mempertimbangkan untuk membuka sempadan negara bagi membantu merancakkan sektor pelancongan.

Nancy dipetik berkata, pihaknya kini di peringkat mengadakan rundingan dengan negara seperti Singapura, Brunei, Korea, Jepun, Taiwan dan New Zealand yang dikenal pasti sebagai kawasan zon hijau.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata, pihaknya berharap kerajaan membenarkan pelancong antarabangsa dari negara berisiko rendah Covid-19 ke Langkawi bagi merancakkan kembali sektor pelancongan di pulau itu.

Beliau mengakui sudah membentangkan cadangan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membawa pelancong antarabangsa dari negara berisiko rendah ke Langkawi menerusi Program Gelembung Pelancongan (Bubble Tourism) Qatar Airways.

"Syarikat penerbangan terbabit bersedia membentuk sistem untuk membuat saringan kepada pelancong sebelum mereka bertolak terus ke Langkawi.

"Perdana Menteri sudah meminta MKN (Majlis Keselamatan Negara) mengkaji mengenai cadangan kita dan memandang serius perkara ini untuk membantu sektor pelancongan.

"Qatar Airways akan menyusun pakej pelancongan bersama pihak hotel selain memastikan pelancong antarabangsa ini tidak bercampur dengan pelancong tempatan.

"Contohnya seperti kereta label, seminggu sebelum pelancong antarabangsa datang, mereka sudah berbincang waktu sesuai untuk pelancong antarabangsa berada di situ dahulu sebelum disanitasi untuk giliran pelancong tempatan pula," katanya.

Terdahulu, Sanusi ditemui pada program Kayuhan Belia Sejahtera di Kompleks Pas Sungai Pau,di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Disember 2020 @ 3:06 PM