Mohd Khidir Zakaria

am@ hmetro.com.my

Port Dickson: Biarpun baru berusia 10 tahun dan tanpa ditemani ahli keluarga, pasangan kembar Aqif Haiqal Anuwar Abdullah dan Aqim Haiqil Anuwar Abdullah teruja untuk berkhatan.

Bukan itu sahaja, kedua-dua mereka turut disertai oleh adik iaitu Aqif Hairil Ismadi Anuwar, 7, untuk dikhatankan.

Apa yang mengharukan adalah ketiga-tiga mereka melakukannya dengan berani tanpa kehadiran ibu mereka yang terpaksa bekerja.

Aqif Haiqal berkata dia bersama adik-adik merasa bertuah kerana penganjur sudi menjemput mereka di rumah untuk hadir ke program itu.

"Pada mulanya, saya dan adik-adik jangkakan kami tidak dapat sertai program ini sebab emak tidak dapat hantar kerana terpaksa bekerja tetapi sangat gembira akhirnya ada rezeki untuk berkhatan.

"Saya dan kembar hanya perlu menjaga adik yang masih kecil kerana emak terpaksa bekerja," katanya yang turut memaklumkan bahawa ibunya seorang ibu tunggal dan bekerja sebagai pembersih bangunan di sebuah hotel di Port Dickson.

AQIM Haiqil (kiri) dan Aqif Haiqal (kanan) membetulkan kain adiknya Aqif Hairil ketika menunggu giliran untuk berkhatan dalam majlis berkhatan anjuran Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (PERKASIH N9) di Bandar Springhill. FOTO  AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
AQIM Haiqil (kiri) dan Aqif Haiqal (kanan) membetulkan kain adiknya Aqif Hairil ketika menunggu giliran untuk berkhatan dalam majlis berkhatan anjuran Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (PERKASIH N9) di Bandar Springhill. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN

Mereka bertiga adalah antara 20 anak asnaf yang menyertai Program Khatan Perdana anjuran Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (PERKASIH N9) dengan kerjasama PRIHATIN PD diadakan di PASTI Al Mukmin, Bandar Springhill

Menurut Pengerusi Persatuan Penolong Pegawai Perubatan (PPP) Cawangan Negeri Sembilan, Rosli Abd Rahman, dia bersama tiga lagi rakannya gembira kerana berpeluang bekerjasama bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai 'Tok Mudim' bagi anak golongan asnaf.

"Saya mewakili persatuan PPP gembira usaha yang dilakukan NGO kerana secara tidak langsung membantu golongan berpendapatan rendah berkhatan secara percuma.

"Ini kerana kami pernah jumpa banyak kes yang mana anak-anak golongan asnaf masih tidak berkhatan walaupun usia sudah mencapai 17 tahun.

"Program seperti ini pastinya membantu kerana ada yang tidak mampu dan akhirnya anak mereka tidak dikhatankan sehingga timbul perasaan malu apabila sudah dewasa," katanya yang sudah lebih 20 tahun pengalaman sebagai juru khatan.

Sementara itu, Pengerusi PERKASIH N9, Norfadilah Mansor berkata, tahun ini majlis Khatan Perdana dibuat dalam keadaan norma baharu akibat pandemik Covid-19.

"Kami berharap program ini akan terus diadakan setiap tahun bagi meringankan beban keluarga yang kurang kemampuan.

"Selepas ini kami akan menumpukan program 'Back To School' yang mana setiap tahun seramai 500 hingga 600 anak-anak asnaf yang akan menerima manfaatnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Disember 2020 @ 6:21 PM