Mohd Amin Jalil


Seremban: Tiga lelaki cedera selepas terbabit dalam kemalangan di jejambat berhampiran Masjid Jamek Datuk Bandar Haji Ahmad, Rasah, di sini, tengah hari tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban, Hamlan Ishak berkata, kemalangan itu menyebabkan dua kenderaan iaitu Proton X70 dan sebuah lori terbakar.

"Kami menerima panggilan kecemasan jam 12.06 tengah hari dan tiba di lokasi sembilan minit kemudian.

"Setibanya di lokasi, kami cuba memadamkan kebakaran manakala lima mangsa yang terbabit kemalangan diselamatkan orang awam," katanya di sini, tadi.

ANGGOTA bomba memeriksa kenderaan yang terbabit kemalangan di Rasah. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
ANGGOTA bomba memeriksa kenderaan yang terbabit kemalangan di Rasah. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin

Katanya, siasatan awal mendapati perlanggaran kedua-dua kenderaan menyebabkan kebakaran.

Beliau berkata, seramai 13 anggota Balai Bomba Seremban dan Balai Bomba Seremban 2 terbabit membantu memadamkan kebakaran.

Hamlan berkata, dua daripada tiga lelaki yang berada di dalam lori cedera.

"Turut cedera seorang lelaki yang memandu Proton X70 manakala seorang penumpang iaitu wanita tidak cedera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Disember 2020 @ 3:54 PM