DR AZURAIDA (kiri) menyerahkan sumbangan kepada wakil tahfiz disaksikan pelajar yang menerima al-Quran ketika program berkenaan. FOTO ihsan pembaca
DR AZURAIDA (kiri) menyerahkan sumbangan kepada wakil tahfiz disaksikan pelajar yang menerima al-Quran ketika program berkenaan. FOTO ihsan pembaca
Hadzlan Hassan


Kuantan: Seramai 90 penghuni dan pelajar tahfiz Kompleks Tahfiz Al-Quran Al-Qaradhawi (KOMTAQ) Kerdau, Pahang menerima sumbangan berbentuk al-Quran dan wang tunai yang disampaikan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Kembara Amal Ventures (KAVE).

KAVE adalah organisasi yang membantu masyarakat serta memperjuangkan hak organisasi masyarakat dan sumbangan itu adalah hasil kerjasama XNR Laser Tag serta pengedar al-Quran, Ade Azhar Trading.

Pengurus program, Nurul Syeera Yusop berkata, program turut disertai ceramah laluan kerjaya oleh Pakar Kepimpinan Diri, Keluarga dan Organisasi yang juga pengasas KAVE, Dr Azuraida Shahadan.

"Kami melakukan aktiviti sehari bersama anak-anak KOMTAQ di pusat tahfiz berkenaan dan mereka diberikan motivasi dan pendedahan laluan kerjaya selepas tamat pengajian. Mereka didedahkan dengan beberapa laluan kerjaya di dalam dan di luar negara.

"Program itu nyata mengeratkan lagi ikatan siratulrahim pelajar dan melihat kepada aspek kerjasama mereka dalam pasukan selain mahu membuktikan ketika musim perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) ini, bukanlah halangan untuk menghulurkan bantuan," katanya.

Dalam program itu, Kembara Amal juga turut menyerahkan wang wakaf sumbangan bagi pembinaan bangunan baru asrama tahfiz dan individu yang berminat untuk berinfaq atau menjadi sukarelawan KAVE juga dipelawa untuk berhubung terus di media sosial Kembara Amal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2020 @ 12:28 PM