Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Lapan wanita warga asing yang melakukan kegiatan persundalan dicekup polis dalam serbuan di di sebuah hotel di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, di sini, tengah malam tadi.

Serbuan jam 12.15 tengah malam itu dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, dua warga tempatan termasuk seorang wanita dipercayai pekerja hotel berkenaan turut ditahan dalam serbuan itu.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

"Berdasarkan risikan wanita warga asing iaitu dari Indonesia (5), Vietnam (1) dan Thailand (2) yang berusia 24 hingga 34 tahun itu menawarkan kegiatan pelacuran di hotel berkenaan.

"Serbuan turut merampas dua keping jadual kerja dan pendapatan pelacur, satu telefon pintar, kad akses bilik hotel dan 30 kondom," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamed Mokhsein berkata, semua tangkapan dibawa ke Balai Polis Cheras untuk proses dokumentasi.

"Dua warga tempatan disiasat mengikut Seksyen 372A Kanun Keseksaan. Manakala wanita warga asing yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2020 @ 11:41 AM