GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Muar, Johor yang kini dijadikan sebagai Pusat Transit Penerimaan Banduan berkuat kuasa esok sehingga 6 Januari depan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat berikutan peningkatan kes positif Covid-19 di PPA Muar selepas ujian saringan dilakukan ke atas tahanan.

"Sehingga kini, Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan 726 ujian saringan dan sebanyak 20 kes positif Covid-19 direkodkan dalam kalangan tahanan.

"Berdasarkan penilaian risiko KKM mendapati risiko dan kadar kebolehjangkitan dalam kalangan OKT (Orang Kena Tuduh) adalah tinggi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pelaksanaan PKPD itu untuk memudahkan saringan menyeluruh semua kontak rapat kes positif dijalankan membabitkan 773 tahanan dan 127 kakitangan.

"Prosedur operasi standard (SOP) PKPD di pusat tahanan ini adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini antaranya tiada pergerakan keluar masuk dan lawatan ahli keluarga adalah tidak dibenarkan," katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri mengumumkan PKPD di satu lokaliti di Persiaran Paya Terubong, Relau, Pulau Pinang ini iaitu Kondo Sierra East yang bermula 7 Disember lalu ditamatkan hari ini.

"Kerajaan sebelum ini melaksanakan PKPD di kawasan Flat Persiaran Paya Terubong, Relau, Pulau Pinang yang dijadual tamat pada 31 Disember ini.

"Bagaimanapun, KKM memaklumkan terdapat satu lokaliti di Persiaran Paya Terubong, Relau ini iaitu Kondo Sierra East yang penghuninya disaring secara keseluruhan dan tiada kes positif Covid-19 direkodkan," katanya.

Menurutnya, penilaian risiko oleh KKM juga mendapati majoriti penduduk kondominium itu tidak ada kaitan dengan kluster yang dilaporkan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Disember 2020 @ 6:36 PM