Che Hassan menunjukkan tandatangan pengadu yang dipalsukan syarikat insurans. FOTO Yusmizal Dolah Aling
Che Hassan menunjukkan tandatangan pengadu yang dipalsukan syarikat insurans. FOTO Yusmizal Dolah Aling
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Guna tandatangan palsu untuk ubah polisi insurans.

Itu kejadian yang menimpa seorang ahli perniagaan selepas mendapati tandatangannya digunakan tanpa kebenaran untuk memperbaharui polisi insurans sejak sepuluh tahun lalu.

Perkara itu disedarinya baru-baru ini selepas mempersoalkan mengapa insurans yang diambilnya hampir 15 tahun lalu tidak dapat digunakan untuk membiayai pembedahan penyakit berkaitan organ dalaman yang dihidapinya.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Radzi, 50-an, berkata, sebelum ini dia pernah menjalani rawatan di sebuah pusat perubatan swasta beberapa tahun lalu menggunakan insurans sama namun tidak ada apa-apa masalah.

"Baru-baru ini saya masuk ke sebuah pusat perubatan swasta di Kedah untuk menjalani rawatan lanjut. Permohonan saya untuk menggunakan pelan insurans ditolak dan saya membuat permohonan kali kedua.

"Sekali lagi ia ditolak dan saya dapati tandatangan yang digunakan di dalam dokumen berkaitan, bukanlah tandatangan saya.

"Selepas berhubung dengan ejen berkenaan, saya diberikan penerangan yang mengelirukan dan dia seperti tidak mahu bertanggungjawab dengan perkara itu," katanya yang membuat aduan kepada Presiden Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM) Che Hassan Che Johan.

Radzi berkata, dia sudah beberapa kali berhubung dengan ejen berkenaan, namun jawapan yang diberikan tidak meyakinkan.

Satu laporan polis dibuat di Balai Polis Alor Setar minggu lalu berhubung perkara itu.

Katanya, dia juga sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang berhubung kejadian itu.

"Selama ini saya bayar belasan ribu setahun, namun tak sangka tandatangan saya dimanipulasi.

"Tindakan undang-undang mungkin diambil kerana saya tidak mahu perkara ini terjadi kepada orang lain," katanya.

Sementara itu Che Hassan berkata, selain kes berkenaan, PPMM juga menerima beberapa aduan berkaitan.

Katanya, kejadian itu tidak sepatutnya berlaku kerana syarikat insurans diberi amanah untuk menguruskan pelan bagi pihak pemegang polisi.

"Kita juga bimbang tandatangan itu digunakan untuk tujuan lain seperti pinjaman kewangan dan kegiatan lain.

"Ada juga kita terima mengenai manipulasi maklumat peribadi. Saya harap pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Disember 2020 @ 1:34 PM