FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
BERNAMA

Georgetown: Pulau Pinang mencatatkan peningkatan jumlah pelancong domestik selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di kebanyakan negeri ditamatkan pada 6 Disember.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Yeoh Soon Hin berkata, kadar penginapan di hotel di Pulau Pinang telah meningkat dengan ketara sejak dua minggu lalu.

"Menurut data Persatuan Hotel Malaysia (MAH), kadar penginapan di hotel kawasan pantai Pulau Pinang pada 82 peratus, diikuti dengan 51 peratus di kawasan bandar.

"Di Seberang Prai pula, kadar penginapan hotel pada 62 peratus," katanya pada sidang media selepas melancarkan kempen pelancongan 'Experience It All in Penang, Responsibly' bagi mempromosikan perniagaan pelancongan di Pulau Pinang dan menggalakkan amalan pelancongan bertanggungjawab dalam kalangan pelancong setempat dan domestik.

Turut hadir Presiden Persatuan Tarikan Pelancongan Pulau Pinang (ATAP) Ch'ng Huck Teng, Presiden Persatuan Pemandu Pelancong Pulau Pinang Chin Poh Chin dan Ketua Pegawai Eksekutif Penang Global Tourism Ooi Chok Yan.

Ch'ng berkata selain itu, jumlah trafik memasuki negeri itu juga semakin meningkat, terutama pada hujung minggu.

Katanya, tarikan pelancongan baharu di negeri itu seperti The Habitat (di Bukit Bendera) dan Entopia (Taman Rama-Rama) juga semakin dikenali ramai dengan merekodkan 100 pengunjung setiap hari.

"Walaupun bermula perlahan, tempat-tempat pelancongan di negeri ini semakin menarik perhatian pelancong tetapi kami meminta semua pihak agar bertanggung jawab dan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan ketika melancong di negeri ini," katanya.

Beliau juga berharap agar sempadan negara dapat dibuka apabila pandemik Covid-19 telah dapat dikawal di masa depan agar pelancong asing dapat mengunjungi tempat-tempat pelancongan pada hari bekerja.

Chin berkata, pemandu pelancong di negeri juga akan menjalani latihan untuk menyesuaikan diri dengan norma baru ketika pandemik Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Disember 2020 @ 6:29 PM