Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Semua pelajar antarabangsa dari semua negara kecuali United Kingdom (UK) dibenarkan ke kampus secara fizikal bagi sesi pembelajaran tahun 2021 yang akan berkuatkuasa bermula 1 Januari tahun depan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sidang khas semalam bersetuju dengan cadangan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) membenarkan kemasukan semua pelajar antarabangsa dari semua negara kecuali United Kingdom (UK) ke kampus secara fizikal.

Menurutnya, kebenaran ini membabitkan pelajar lama dan pelajar yang diterima masuk oleh Institusi Pengajian Tinggi (IPT) - awam dan swasta serta mempunyai penginapan tetap di Malaysia.

"Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi ujian calitan Covid-19 dan perintah kuarantin tertakluk kepada pengarahan sedia ada bagi semua pengembara dari luar negara.

"Pelajar perlu melakukan ujian saringan Covid-19 tiga hari sebelum berlepas ke Malaysia dan sekali lagi setibanya di pintu masuk negara," katanya pada sidang media MKN, di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, mereka juga perlu menjalani kuarantin wajib di pusat kuarantin yang diwartakan oleh kerajaan selama 10 hari.

"Kos ujian calitan Covid-19 dan kuarantin perlu ditanggung oleh pelajar berkenaan SOP dan syarat terperinci mengenai pembelajaran akan diumumkan oleh KPT.

"Sidang khas semalam turut bersetuju untuk membenarkan kemasukan pelajar bukan warganegara kecuali dari United Kingdom (UK) yang datang bersama pengiring untuk belajar di sekolah antarabangsa dan swasta di Malaysia," katanya.

Beliau berkata, kebenaran ini akan berkuatkuasa bermula 1 Januari 2021 dan hanya tertakluk kepada pelajar sedia ada yang diluluskan permohonan serta mendapat visa dari Jabatan Imigresen Malaysia.

"Pelajar dan pengiring perlu melakukan ujian saringan Covid-19 tiga hari sebelum berlepas ke Malaysia dan sekali lagi setibanya di pintu masuk negara.

"Perlu menjalani kuarantin wajib selama 10 hari di pusat kuarantin yang diwartakan oleh Kerajaan dengan kos ujian calitan Covid-19 dan kuarantin perlu ditanggung oleh pelajar berkenaan," katanya.

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi isyarat bagus semasa pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2021 di pekarangan Laman Kompleks Perbadanan Putrajaya hari ini. FOTO Bernama
PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi isyarat bagus semasa pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2021 di pekarangan Laman Kompleks Perbadanan Putrajaya hari ini. FOTO Bernama

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Disember 2020 @ 6:27 PM