SUSPEK yang ditahan menerusi dua serbuan yang dijalankan polis di sekitar kawasan Seri Alam, Johor Bahru. FOTO Ihsan Polis Johor
SUSPEK yang ditahan menerusi dua serbuan yang dijalankan polis di sekitar kawasan Seri Alam, Johor Bahru. FOTO Ihsan Polis Johor
Nurul Amanina Suhaini

Johor Bahru: Polis menahan dua anggota sindiket pengedaran dadah serta merampas 13.77 kilogram heroin bernilai RM153,178 menerusi dua serbuan berasingan di sekitar Seri Alam dekat sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, operasi khas jam 9.45 pagi itu membabitkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama JSJN Johor.

Katanya, dua lelaki tempatan berusia 31 hingga 38 tahun terbabit dipercayai aktif mengedar dadah sejak Mei lalu di negeri ini.

"Hasil ujian saringan air kencing, kedua-dua suspek positif MOP dan Tetra Hydrocannibol (THC). Seorang daripada suspek juga memiliki rekod jenayah lampau.

ANTARA dadah yang dirampas. FOTO Ihsan Polis Johor
ANTARA dadah yang dirampas. FOTO Ihsan Polis Johor

"Selain itu, kami turut merampas wang tunai dan barangan kemas selain menyita masing-masing sebuah BMW, Toyota Vellfire, Proton Wira dan motosikal Yamaha," katanya pada kenyataan hari ini.

Beliau berkata, nilai keseluruhan sitaan adalah RM338,953.

"Kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula semalam hingga 27 Disember ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Disember 2020 @ 5:59 PM