Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti lapan kluster baharu yang dilaporkan di Selangor, Kuala Lumpur, Labuan, Pahang, Putrajaya dan Pulau Pinang, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster baharu pertama dikenal pasti adalah Kluster Pekapuri yang dilaporkan di Gombak, Selangor.

"Kes-kes bagi kluster ini dilaporkan positif Covid-19 bermula hari ini melalui saringan bersasar di tempat kerja membabitkan 202 kes dikesan positif.

"Kluster kedua dikenal pasti adalah Kluster Batu Besar yang dilaporkan di Klang, Selangor membabitkan 59 kes dikesan positif dalam kluster ini," katanya pada sidang media perkembangan harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Noor Hisham berkata, satu lagi kluster dikenal pasti adalah Kluster Tower yang dilaporkan di Gombak, Hulu Langat dan Sepang, Selangor serta Titiwangsa dan Cheras, Kuala Lumpur selain Temerloh, Pahang dengan 20 kes dikesan positif.

"Kluster keempat dikenal pasti adalah Kluster Tapak Bina Pelangi yang dilaporkan di sebuah tapak binaan di Kepong, Kuala Lumpur membabitkan 23 kes dikesan positif.

"Kluster kelima yang dikesan adalah Kluster Wawasan yang dilaporkan di Petaling, Selangor serta Lembah Pantai, Kuala Lumpur selain Putrajaya dengan enam kes dikesan positif," katanya.

Katanya, kluster keenam dikenal pasti adalah Kluster Delima dilaporkan di Titiwangsa, Kuala Lumpur serta Gombak dan Hulu Langat, Selangor membabitkan sembilan kes positif.

"Satu lagi kluster dikesan adalah Kluster J Bandar dilaporkan di Labuan dengan 25 kes dikesan positif dalam kluster berkenaan.

"Kluster kelapan dikenal pasti adalah Kluster May Indah yang dilaporkan di Timur Laut, Barat Daya, Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang membabitkan 27 kes positif," katanya.

DR Noor Hisham turut memaklumkan sebanyak 250 kluster Covid-19 tamat pada hari ini. FOTO BERNAMA
DR Noor Hisham turut memaklumkan sebanyak 250 kluster Covid-19 tamat pada hari ini. FOTO BERNAMA

Beliau berkata, sebanyak 451 kluster dilaporkan sehingga kini dengan 250 kluster dilaporkan tamat, setakat hari ini.

"Enam kluster yang tamat hari ini adalah Kluster Teja Kasih, Kluster Permatang, Kluster Kejora, Kluster Bayan, Kluster Numbak dan Kluster Danau. Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah 201 kluster.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 44 kluster melaporkan pertambahan kes, hari ini. Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Sungai Putus (570 kes), Kluster Tembok Gajah (234 kes) dan Kluster Pekapuri (202 kes)," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2020 @ 7:40 PM