Pasukan JBPM Sarawak memunggah bantuan ke pesawat AW189 Agusta di Pengkalan Operasi Udara JBPM Miri sebelum dihantar ke mangsa banjir di Mulu, hari ini. FOTO ERIKA GEORGE
Pasukan JBPM Sarawak memunggah bantuan ke pesawat AW189 Agusta di Pengkalan Operasi Udara JBPM Miri sebelum dihantar ke mangsa banjir di Mulu, hari ini. FOTO ERIKA GEORGE
Oleh Erika George


Miri: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak hari ini menghantar 85 bungkusan bekalan makanan buat penduduk terjejas banjir di Mulu, Baram.

Menurut Ketua JBPM Miri Law Poh Kiong, kesemua bekalan makanan itu diagihkan buat lima petempatan di Mulu yang terputus bekalan makanan sejak beberapa hari lalu disebabkan banjir besar yang melanda kawasan berkenaan.

"Lima kawasan yang terjejas teruk ialah Kampung Melinau Ulu, Kampung Batu Bungan, Sekolah Kebangsaan Batu Bungan, Klinik Kesihatan Mulu dan Pejabat Kecil Daerah Mulu," katanya.

Menurutnya, difahamkan kesemua penghuni di kawasan terjejas tidak dapat keluar bagi mendapatkan barangan keperluan harian disebabkan jalan penghubung ditenggelami air selain faktor air sungai yang deras dan berbahaya untuk bot kecil dan sederhana besar untuk ke pekan berhampiran.

Beliau berkata, fenomena air pasang besar juga membuatkan laluan sungai berbahaya untuk digunakan.

Katanya, sepasukan Unit Udara JBPM Sarawak berlepas menggunakan pesawat AW189 Agusta pada jam 10.16 pagi bagi mengagihkan bantuan makanan buat penduduk terjejas banjir di kawasan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2020 @ 5:57 PM